Trend songsang cabar tatasusila masyarakat

KRISIS moral dalam masyarakat semakin membimbangkan apabila dua bentuk perlakuan bercanggah dengan norma kehidupan normal kini bergerak secara terbuka tanpa rasa segan mahupun takut terhadap tindakan undang-undang.
Trend pertama melibatkan penganjuran program motivasi rumah tangga yang didakwa menyimpang daripada tujuan asal.
Sesi ‘terapi’ dalam program itu dikaitkan dengan tarian bogel dan aktiviti berunsur lucah, sekali gus mencemarkan konsep kebahagiaan rumah tangga sebenar.
Trend kedua pula merujuk kepada kegiatan swinger atau pertukaran pasangan yang dilaporkan semakin aktif dipromosikan secara tertutup melalui kumpulan khas di platform media sosial.
Kedua-dua kegiatan itu dipercayai berselindung di sebalik istilah terapi emosi dan kebebasan seksual, namun hakikatnya melanggar nilai agama, norma keluarga dan peruntukan undang-undang.
Fenomena ini menimbulkan kebimbangan apabila unsur maksiat dan kelucahan tidak lagi dijalankan secara tersembunyi, sebaliknya dipromosikan secara terang-terangan sebagai jalan penyelesaian kepada isu rumah tangga.
Apabila moral diketepikan dan nafsu dijadikan pedoman, masyarakat terus hanyut dibuai keseronokan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Daripada sudut agama, sama ada Islam mahupun kepercayaan lain yang menekankan nilai kekeluargaan, kedua-dua bentuk amalan itu jelas haram dan berdosa besar.
Dalam Islam, perbuatan membuka aurat dengan sengaja, melakukan aksi lucah di khalayak dan berzina tergolong dalam kategori fasik yang membawa kemudaratan besar kepada individu dan masyarakat.
Lebih menyedihkan, perbuatan itu berlaku dalam konteks suami isteri yang sepatutnya menjaga maruah institusi perkahwinan.
Ia bukan sahaja mencemarkan hubungan yang sah tetapi turut mengundang kemurkaan ALLAH serta menjauhkan keberkatan dalam kehidupan berumah tangga.
Apabila perkara seumpama itu tidak lagi dianggap memalukan, malah dibincangkan secara terbuka, ia menunjukkan perubahan nilai yang amat membimbangkan dalam masyarakat.
Selain kesan terhadap moral dan agama, aspek kesihatan juga perlu diberikan perhatian serius. Hubungan intim tanpa batasan dengan pelbagai pasangan meningkatkan risiko penularan penyakit kelamin (STD) terutama apabila tiada pemeriksaan kesihatan berkala dan amalan perlindungan diri diabaikan.
Aktiviti seksual tidak terkawal boleh menyebabkan penyebaran penyakit secara senyap dalam komuniti, sekali gus membebankan sistem kesihatan awam.
Media sosial pula kini menjadi platform utama penyebaran dan normalisasi aktiviti maksiat hingga memudahkan penganjur untuk menjemput ahli, mempromosikan ‘program eksklusif’ dan mengatur pertemuan sulit atas nama ‘komuniti dewasa’.
Justeru, kelemahan dalam aspek penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kandungan lucah serta aktiviti tidak bermoral perlu ditangani segera.
Pihak berkuasa agama dan pasukan keselamatan seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti bekerjasama untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyeleweng.
Masyarakat turut digesa memainkan peranan aktif sebagai mata dan telinga negara kerana setiap individu bertanggungjawab melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh merosakkan institusi kekeluargaan.
Sikap tidak peduli atau lebih teruk memilih untuk berdiam diri hanya akan membuka lebih banyak ruang kepada budaya songsang berakar umbi dalam masyarakat.
Paling utama, usaha memperkukuh nilai agama, pendidikan akhlak dan kesedaran moral mesti dipertingkatkan melalui pendekatan menyeluruh bermula dari rumah, diperkuatkan di sekolah dan pelaksanaan hukuman setimpal terhadap setiap kesalahan yang dilakukan.
*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Biro Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

