Tumpahan diesel cetus kesesakan luar biasa

GEORGE TOWN - Kesesakan luar biasa lebih dua jam berlaku di Jalan Masjid Negeri, di sini serta beberapa laluan berhampiran berikutan kejadian tumpahan minyak diesel yang berlaku pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.39 petang itu, sebuah lori yang membawa tangki berisi minyak diesel dikatakan mengalami kebocoran hingga menyebabkan tumpahan minyak sepanjang satu kilometer.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, berikutan kejadian itu beberapa kenderaan terbabas dan berlanggar.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku tumpahan minyak diesel yang menyebabkan kemalangan kecil melibatkan dua buah kereta dan beberapa motosikal.
“Terdapat seorang penunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan ringan, namun mangsa tiada di lokasi ketika pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

John Sagun berkata, anggota bertugas menjalankan kerja-kerja pembersihan menggunakan aliran air serta serbuk pencuci bagi memastikan jalan kembali selamat.
Tambahnya, operasi pembersihan tamat sepenuhnya pada jam 5.47 petang selepas kawasan terlibat disahkan selamat untuk pengguna jalan raya.
“Insiden itu turut menyebabkan aliran trafik di kawasan sekitar sesak teruk sehingga lebih dua jam berikutan laluan utama ditutup sementara bagi tujuan kerja pembersihan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

