Kartel susu tepung: SPRM rekod keterangan 11 individu

Laporan Sinar Harian mengenai serbuan SPRM di sebuah kilang pemprosesan susu dan dua buah syarikat di sekitar Lembah Klang.
Laporan Sinar Harian mengenai serbuan SPRM di sebuah kilang pemprosesan susu dan dua buah syarikat di sekitar Lembah Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan bernilai kira-kira RM120 juta sudah mencapai kira-kira 45 peratus.

Menurut sumber, SPRM telah merekod 11 keterangan individu termasuk kakitangan jabatan berkaitan.

"Individu-individu yang terlibat juga telah dikenal pasti dan akan direkod keterangan.

"SPRM juga akan kenal pasti lebih ramai individu lain untuk membantu siasatan," katanya pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan siasatan masih dijalankan pihaknya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat beranak terdiri daripada suami isteri serta dua anak lelakinya masing-masing disyaki pemilik dan pengarah syarikat telah disiasat berhubung kartel terbabit.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan juga Akta Cukai Pendapatan 1967.

SPRM juga telah melaksanakan sitaan akaun berjumlah RM174.6 juta membabitkan 24 akaun individu serta 51 akaun syarikat.

Tindakan itu hasil pembongkaran SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang bermula 8 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, syarikat milik pasangan suami isteri tersebut dipercayai telah memonopoli tender pembekalan susu tepung tersebut sejak 20 tahun lalu.

Kesemua suspek melalui syarikat mereka disyaki membekalkan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan seluruh semenanjung Malaysia yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan sejak tahun 2021 hingga 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!