SPRM mula siasat jabatan kerajaan dikaitkan kes kartel susu tepung

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap sebuah jabatan kerajaan yang dikaitkan dengan kes kartel susu tepung.
Menurut sumber, syarikat yang terlibat dalam kes ini telah membekalkan susu tepung tanpa mematuhi piawaian standard SIRIM Berhad (SIRIM) dengan nilai pembekalan dianggarkan kira-kira RM120 juta kepada jabatan berkenaan.
"Empat beranak terdiri daripada suami isteri serta dua anak masing-masing yang disyaki sebagai pemilik dan pengarah syarikat telah disiasat.
"Sehingga hari ini (Jumaat), seramai 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memaklumkan bahawa kes ini masih dalam peringkat siasatan.
Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram, serta Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sebelum ini, SPRM telah menyita akaun berjumlah RM174.6 juta melibatkan 24 akaun individu serta 51 akaun syarikat.
Sinar Harian menerusi laporan pada Rabu melaporkan bahawa SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah membongkar kartel berkenaan susulan penahanan tiga beranak berusia lingkungan 40 hingga 70-an, yang terdiri daripada dua pemilik dan seorang pengarah syarikat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata bahawa syarikat milik pasangan suami isteri itu dipercayai telah memonopoli tender pembekalan susu tepung sejak 20 tahun lalu.
Kesemua suspek melalui syarikat mereka disyaki membekalkan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan di seluruh Semenanjung Malaysia yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan dari tahun 2021 hingga 2024.
Susulan itu, SPRM telah menyerbu sebuah kilang pemprosesan susu serta dua buah syarikat di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal turut mendapati kebanyakan syarikat yang memperoleh tender pembekalan susu tepung ke jabatan kerajaan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dalam bidang pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran makanan serta minuman.
Latar belakang syarikat-syarikat ini terdiri daripada syarikat perabot, elektrik, kontraktor, hartanah, pengangkutan dan kejuruteraan awam. Ada antara syarikat ini dipercayai memperoleh keuntungan antara 10 hingga 50 peratus hasil daripada pembekalan susu tepung tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
