Siasat vape dadah tembusi sekolah, bungkusan pos jadi laluan - NGO

Vape yang mengandungi cecair dadah kini dipercayai dijual dan dihantar menerusi bungkusan pos atau syarikat penghantaran bungkusan.
Vape yang mengandungi cecair dadah kini dipercayai dijual dan dihantar menerusi bungkusan pos atau syarikat penghantaran bungkusan.
A
A
A

SHAH ALAM – Kawalan ketat pintu pagar sekolah bukan jaminan pelajar bebas daripada ancaman dadah apabila bahan terlarang itu kini dipercayai boleh diperoleh menerusi pembelian dalam talian sebelum dihantar terus ke rumah menggunakan perkhidmatan pos.

Situasi itu membuktikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar tidak boleh hanya tertumpu kepada kawalan disiplin dan pemeriksaan di kawasan sekolah, sebaliknya perlu diperluas kepada kegiatan pembekalan serta pengedaran bahan terlarang menerusi platform digital.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang, Daniel Khoo berkata, kejadian membabitkan seorang pelajar sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan yang disyaki menghisap vape berunsur dadah perlu dilihat sebagai petunjuk kepada kemungkinan wujudnya saluran pengedaran lebih luas.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Majlis Kebangsaan Skuad Sahabat JPJ (SSJ) berkata, siasatan tidak seharusnya terhenti kepada pelajar yang memiliki atau menggunakan bahan berkenaan, sebaliknya perlu mengenal pasti sumber bekalan dan pihak yang bertanggungjawab membekalkannya.

Menurutnya, tindakan disiplin terhadap pelajar terlibat sahaja tidak mencukupi sekiranya punca sebenar bahan berbahaya itu diperoleh masih tidak dikenal pasti.

"Ini bukan soal menyalahkan pihak sekolah semata-mata. Kita perlu tahu bagaimana bahan berbahaya ini boleh sampai ke tangan pelajar dan mengapa mereka begitu mudah terpengaruh untuk mencubanya.

"Jika ada pihak yang membekalkan secara percuma atau memujuk pelajar menggunakan bahan berkenaan, perkara itu perlu disiasat sehingga ke puncanya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Daniel Khoo
Daniel Khoo

Artikel Berkaitan:

Mengulas kejadian di Nilai itu, seorang pelajar dilaporkan hilang kesedaran dan mengalami kekeliruan sehingga videonya tular di media sosial.

Siasatan polis mendapati pelajar berkenaan disyaki menghisap vape dan ujian saringan air kencing awal dilaporkan positif bagi tiga jenis dadah, namun keputusan pengesahan makmal masih ditunggu.

Polis turut menahan dua pemuda masing-masing berusia 17 dan 18 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembekalan vape berkenaan. Seorang daripada mereka masih bersekolah, manakala seorang lagi tidak lagi bersekolah.

Vape berunsur dadah itu dipercayai dibeli menerusi media sosial sebelum dihantar ke rumah menggunakan perkhidmatan pos dan diserahkan kepada pelajar lain.

Polis juga difahamkan sedang mengesan pembekal utama bahan berkenaan.

Daniel berkata, pihak sekolah sememangnya mempunyai tanggungjawab memantau kemasukan individu dan barangan mencurigakan serta mengenal pasti perubahan tingkah laku pelajar.

Bagaimanapun, katanya, kemampuan sekolah mempunyai batasan kerana pihak pengurusan tidak dapat mengawal sepenuhnya pergaulan, aktiviti dan persekitaran pelajar selepas waktu persekolahan.

Justeru, beliau berpandangan pendekatan pencegahan perlu merangkumi pendidikan kemahiran menolak pengaruh negatif, termasuk membimbing pelajar mengenal pasti risiko serta mendapatkan bantuan apabila ditawarkan bahan yang tidak diketahui kandungannya.

Menurutnya, sebahagian pelajar mungkin mengetahui bahaya dadah, namun faktor pengaruh rakan sebaya, perasaan ingin tahu dan kebimbangan disisihkan daripada kelompok sosial menyebabkan mereka sukar menolak pelawaan untuk mencuba.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan pergaulan, aktiviti selepas sekolah dan corak perbelanjaan anak-anak, selain memberi perhatian kepada bungkusan yang diterima di rumah serta urusan pembelian dalam talian.

Katanya, ibu bapa juga tidak seharusnya terus mengaitkan anak yang merokok atau menggunakan vape dengan penyalahgunaan dadah tanpa terlebih dahulu memahami keadaan sebenar.

Sebaliknya, pendekatan berbincang dan mengenal pasti punca tingkah laku berkenaan perlu diutamakan bagi mengelakkan anak-anak menyembunyikan masalah yang dihadapi.

Beliau turut menggesa pihak penguat kuasa mempertingkat pemantauan terhadap transaksi dan kegiatan penjualan bahan terlarang menerusi media sosial serta platform perdagangan dalam talian.

Daniel berkata, kempen kesedaran anti-dadah juga perlu dirancang dengan lebih berhati-hati supaya penyampaian maklumat tidak secara tidak langsung mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pendidikan berkaitan bahaya dadah perlu disampaikan secara positif, interaktif dan bersesuaian dengan peringkat umur, termasuk menerusi simulasi situasi kehidupan sebenar, video pendek serta platform popular seperti TikTok dan Instagram.

Beliau turut menegaskan pihak sekolah perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan sekiranya pelajar menunjukkan simptom tidak sihat atau perubahan tingkah laku luar biasa.

Katanya, pelajar terbabit perlu menjalani pemeriksaan perubatan dan dibawa ke hospital sekiranya keadaan memerlukan, selain ibu bapa dimaklumkan tanpa membuat kesimpulan awal berdasarkan penampilan atau tingkah laku semata-mata.

Bagi pelajar yang terdedah kepada bahan berbahaya, sokongan kaunseling profesional dan pemantauan susulan juga perlu diberikan supaya mereka tidak terus terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

"Sekolah boleh memperketat pengurusan, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada sekolah semata-mata.

"Kita mesti menyiasat dari mana datangnya bahan berbahaya ini dan siapa yang membekalkannya. Barulah generasi akan datang dapat dilindungi daripada ancaman dadah hingga ke puncanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!