Kes kartel susu tepung: SPRM rekod keterangan dua kakitangan jabatan kerajaan

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekod keterangan dua kakitangan sebuah jabatan kerajaan untuk membantu siasatan berkenaan kes kartel pembekalan susu tepung.
Difahamkan, keterangan dua lelaki terbabit diambil pada minggu lepas.
Menurut sumber, Op White ini masih dijalankan termasuk mengesan dan menganalisis pengaliran sumber wang membabitkan kartel ini.
"Siasatan juga melibatkan kerjasama dengan pihak bank untuk SPRM kesan akaun-akaun berkaitan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memaklumkan kes ini masih dalam peringkat siasatan.
Jelasnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan juga Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat beranak terdiri daripada suami isteri serta dua anak lelakinya masing-masing disyaki pemilik dan pengarah syarikat telah disiasat berhubung kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan yang tidak memenuhi piawaian standard SIRIM Berhad (SIRIM) bernilai kira-kira RM120 juta.
SPRM juga telah melaksanakan sitaan akaun berjumlah RM174.6 juta membabitkan 24 akaun individu serta 51 akaun syarikat.
Tindakan itu hasil pembongkaran SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang bermula 8 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, syarikat milik pasangan suami isteri tersebut dipercayai telah memonopoli tender pembekalan susu tepung tersebut sejak 20 tahun lalu.
Kesemua suspek melalui syarikat mereka disyaki membekalkan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan seluruh semenanjung Malaysia yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan sejak tahun 2021 hingga 2024.
Siasatan awal mendapati, kebanyakan syarikat-syarikat yang memperoleh tender pembekalan susu tepung ke jabatan kerajaan ini tiada kaitan dalam bidang pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran makanan serta minuman.
Latar belakang syarikat-syarikat ini terdiri daripada syarikat perabot, elektrik, kontraktor, hartanah, pengangkutan dan kejuruteraan awam dan ada antara syarikat ini menerima keuntungan antara 10 hingga 50 peratus hasil daripada pembekalan susu tepung tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
