Bongkar kartel susu tepung mesej jelas kepada pelaku industri - MCW

Laporan eksklusif Sinar Harian berhubung SPRM bongkar kartel susu tepung. Jais (kanan).
Laporan eksklusif Sinar Harian berhubung SPRM bongkar kartel susu tepung. Jais (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan memberi mesej jelas kepada pelaku industri agar tidak sewenang-wenangnya mengeksploitasi sistem kerajaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, MCW menggesa SPRM agar tidak berhenti setakat tangkapan atau pendedahan awal semata-mata, sebaliknya meneruskan siasatan secara menyeluruh hingga ke akar umbi.

Menurutnya, siasatan perlu merangkumi semua pihak yang terlibat termasuk dalang utama, rangkaian kerjasama antara pembekal dan penjawat awam, serta memastikan mereka diheret ke muka pengadilan.

“MCW menyambut baik dan memuji tindakan tegas SPRM yang berjaya membongkar kartel pembekalan susu tepung bernilai RM120 juta ini.

“Tindakan ini membuktikan kecekapan SPRM dalam mengesan penyelewengan berskala besar yang memberi kesan langsung kepada kewangan negara dan integriti rantaian pembekalan sektor awam, khususnya melibatkan keperluan asas seperti pemakanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam proses perolehan disaran menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) serta sistem tadbir urus mereka bagi mengelakkan pengulangan kes seumpama itu.

“Pemantauan dalaman perlu diperketat termasuk pelaksanaan saringan bebas terhadap pembekal, audit berkala serta mekanisme pemantauan harga dan kualiti agar tidak berlaku manipulasi atau kolusi dalam pembekalan,” tegasnya.

MCW turut menggesa SPRM meneruskan momentum ini dengan menyiasat lebih banyak kes kartel dalam sektor-sektor kritikal lain seperti perolehan ubat-ubatan, bekalan makanan ke institusi pendidikan, pembinaan, dan peralatan ketenteraan.

“Kehadiran kartel dalam sistem kerajaan bukan sahaja merugikan kewangan negara, malah menjejaskan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai langkah jangka panjang, Jais menyarankan kerajaan mengkaji semula kekuatan perundangan sedia ada termasuk Akta Persaingan 2010 bagi menangani unsur rasuah dan monopoli yang berselindung di sebalik konsortium atau perjanjian korporat.

“Kes kartel susu ini seharusnya menjadi titik tolak untuk kita membersihkan sektor perolehan kerajaan daripada ketamakan pihak yang mengkhianati amanah rakyat,” tambahnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat tiga individu terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak lelaki yang disyaki mendalangi kartel pembekalan susu tepung bernilai kira-kira RM120 juta kepada sebuah jabatan kerajaan.

Pendedahan itu dibuat menerusi Operasi Op White oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM), ke atas tiga kediaman dan sebuah syarikat di Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata syarikat milik pasangan itu dipercayai telah memonopoli tender pembekalan susu tepung berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Mereka disyaki membekalkan produk tidak mematuhi piawaian keselamatan makanan SIRIM Berhad (SIRIM) ke jabatan kerajaan di seluruh Semenanjung Malaysia dari tahun 2021 hingga 2024.

Dalam serbuan itu, sebanyak 75 akaun bank dibekukan, terdiri daripada 24 akaun individu dan 51 akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM156 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!