Sijil halal 'senjata pemasaran' syarikat bukan bumiputera - Jakim

Sirajuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas meramikan Seminar Halal Dan Fatwa Peringkat Kebangsaan Kali Kedua dan Pelancaran Buku: Makanan Dan Minuman Berdasarkan al-Quran, Hadis Dan Fatwa di sini pada Selasa
Sirajuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas meramikan Seminar Halal Dan Fatwa Peringkat Kebangsaan Kali Kedua dan Pelancaran Buku: Makanan Dan Minuman Berdasarkan al-Quran, Hadis Dan Fatwa di sini pada Selasa
A
A
A

NILAI - Syarikat bukan bumiputera lebih banyak membuat permohonan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berbanding syarikat milik bumiputera.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, daripada 19,686 jumlah keseluruhan permohonan, 13,206 atau 67 peratus daripadanya adalah pemohon bukan bumiputera.

Menurutnya, kajian mendapati, pemain industri bukan bumiputera melihat pensijilan halal sebagai senjata atau alat pemasaran paling berkesan untuk meluaskan pasaran mereka.

"Kecenderungan itu (memohon sijil halal) memang sejak dahulu lagi, memang kita buat pemerhatian kajian bersama dengan pihak akademik, mereka (syarikat bukan bumiputera) melihat halal ini sebagai senjata atau alat pemasaran.

"Apabila mereka nak menyediakan sesuatu produk ataupun perkhidmatan dengan adanya sijil pengesahan halal ini dapat memberi (keyakinan) bahawa produk ini sesuai untuk orang Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meramikan Seminar Halal Dan Fatwa Peringkat Kebangsaan Kali Kedua dan Pelancaran Buku: Makanan Dan Minuman Berdasarkan al-Quran, Hadis Dan Fatwa di sini pada Selasa.

Uajrnya, permohonan pensijilan halal yang dibuat syarikat bukan bumiputera merangkumi pelbagai segmen daripada premis makanan, pengilangan kontrak, farmaseutikal, kosmetik sehinggalah kepada peranti perubatan.

Beliau juga tidak menolak ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan logo halal secara tidak sah.

"Ada sesetengah mereka yang tak faham pun apa itu halal, tapi mereka cuba dilihat.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya ada beberapa negara luar apabila melihat rakan industri mendapat pengesahan halal daripada Malaysia atau negara mereka sendiri, pasarannya melonjak dan mereka cuba menampal logo halal sedangkan produk itu sememangnya tidak boleh mendapat pensijilan halal pun," katanya.

Jelas beliau, antara faktor pemohon sijil halal bumiputera lebih rendah kerana beranggapan tiada keperluan untuk mendapatkan pengesahan halal kerana mereka orang Islam.

Justeru itu Sirajuddin berharap lebih ramai syarikat bumiputera mempunyai kesedaran untuk mendapatkan sijil halal.

"Jakim tidak pernah menutup ruang, dari semasa ke semasa kita memerlukan kolobarasi dengan entiti dan agensi lain, kita terus berusaha agar industri bumiputera turut serta mendapat sijil halal," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!