Jakim siasat isu hospital beri kontrak katering RM25.64 juta kepada syarikat tiada sijil halal

Sirajuddin.
Sirajuddin.
A
A
A

NILAI - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung penganugerahan kontrak katering bernilai RM25.64 juta oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki pensijilan halal.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam isu tersebut kerana kemungkinan terdapat kekeliruan.

"Jakim pun dapat maklumat ini apabila diumumkan dalam laporan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci bagaimana kita boleh bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk kita tanganinya bersama secara harmoni.

"Maksudnya, kita tidaklah menyalahkan terus pihak berkaitan, namun kita akan lihat dengan cara terbaik bagaimana nak mengatasi isu lantikan syarikat yang tidak dipersijilkan halal untuk mengusahakan katering atau yang menyediakan makanan di premis terbabit," katanya selepas meramikan Seminar Halal Dan Fatwa Peringkat Kebangsaan Kali Kedua dan Pelancaran Buku: Makanan Dan Minuman Berdasarkan al-Quran, Hadis Dan Fatwa di sini pada Selasa

Beliau berkata demikian mengulas LKAN 2/2025 yang melaporkan HCTM menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada syarikat dinamakan sebagai 0267299-T yang tidak mempunyai sijil halal daripada Jakim.

Laporan itu turut memaklumkan syarikat itu dianugerahkan kontrak bagi membekalkan makanan kepada pesakit hospital berkenaan selama tiga tahun bermula Februari 2024.

Jelas Sirajuddin lagi, sememangnya menjadi peraturan Kementerian Kewangan (MOF) atau pihak berautoriti berkaitan bahawa setiap jabatan atau agensi di bawah kerajaan perlu memastikan syarikat yang dilantik terutama berkaitan penyediaan makanan mempunyai pensijilan halal.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan terdapat kekeliruan dan salah faham dalam soal membabitkan hospital terbabit.

"Pihak MOF telah letakkan syarat, contohnya bila pihak Jakim nak laksanakan sesuatu seminar atau bengkel di luar pejabat, kita kena pastikan penyedia perkhidmatan itu khususnya berkaitan makanan mempunyai sijil halal.

Artikel Berkaitan:

"Itu memang terkandung dalam peraturan dikeluarkan MOF atau pihak berautoriti berkaitan dan kemungkinan ada kekeliruan, itu kita akan dapatkan maklumat lanjut, mungkin salah faham dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada semua hospital kerajaan perlu memastikan pengendali makanan dilantik mempunyai sijil halal, beliau berkata, ia berkaitan dengan prosedur perolehan dan Jakim bersedia membuat pengesahan sekiranya diminta oleh pihak berwajib.

Sementara itu ditanya berkenaan perkembangan siasatan program motivasi rumah tangga eHati yang turut disertai Jakim, beliau berkata, pihaknya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh menganggu proses siasatan.

"Siasatan sedang dilaksanakan Jabatan Agama Islam Selangor bersama polis dan kita tunggu hasilnya nanti.

"Buat masa ini kita (Jakim) tidak mahu keluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menganggu proses siasatan tersebut," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!