RM18 juta lesap akibat penipuan siber di Terengganu

Mohd Khairi (tengah) ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu di Kuala Terengganu pada Selasa.
Mohd Khairi (tengah) ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu merekodkan sebanyak 940 kes penipuan membabitkan kerugian hampir RM18 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, daripada jumlah itu, penipuan menerusi panggilan telefon (phone scam) mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM7,676,880.69.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pesara, golongan profesional dan suri rumah yang menjadi sasaran sindiket melalui pelbagai taktik licik.

“Skim pelaburan tidak wujud pula mencatatkan kerugian sebanyak RM5,470,997.69 diikuti pembelian dalam talian (RM1,946,560.43) dan parcel scam (RM1,570,370.17).

“Selain itu, turut dilaporkan kes love scam, pinjaman tidak wujud, jenayah siber dan kegiatan ah long dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM17,900,560.23,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairi berkata, kes terbaharu melibatkan seorang bekas kakitangan syarikat carigali yang kerugian RM892,000 selepas menjadi mangsa sindiket phone scam pada awal tahun ini.

Beliau berkata, mangsa, seorang lelaki berusia 56 tahun dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil Shopee dan pegawai polis dari IPK Pulau Pinang, kononnya terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Mangsa panik lalu membuat 10 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza berjumlah RM892,000 bermula 7 Januari hingga 10 Februari lalu menggunakan wang simpanan persaraan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Tambah beliau, mangsa telah tampil membuat laporan polis berhubung kes itu pada petang Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan tidak dikenali, terutama yang mengugut kononnya mangsa berdepan tindakan undang-undang.

“Orang ramai hendaklah sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik penipuan yang kini semakin canggih.

“Jangan sesekali panik atau bertindak terburu-buru. Sahkan dahulu dengan pihak berkuasa sebenar sebelum melakukan sebarang transaksi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!