32 PATI termasuk tekong dicekup dalam Ops Taring

Antara suspek yang diberkas dan bit yang dirampas dalam serbuan dijalankan pada Sabtu.
Antara suspek yang diberkas dan bit yang dirampas dalam serbuan dijalankan pada Sabtu.
A
A
A

SABAK BERNAM – Tindakan nekad seorang tekong dan awak-awaknya yang terjun ke laut bagi mengelak ditahan ketika membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal apabila diberkas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Taring Gelora Khas pada Sabtu.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam apabila sepasukan Unit Gempur Marin (Unggerin) bersama bot ronda RH 16, Spear 02 dan PSC 15 mengesan sebuah bot mencurigakan kira-kira dua batu nautika dari pesisir pantai Sungai Pulai, Bagan Nakhoda Omar.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati 25 lelaki dan seorang wanita dewasa warga Indonesia berada di dalamnya.

"Dalam serbuan itu, tekong dan awak-awak bertindak terjun ke laut bagi mengelak daripada ditahan, namun berjaya ditemui oleh bot ronda PSC 15 tidak lama kemudian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bot berkenaan digunakan untuk menghantar PATI masuk ke Malaysia melalui laluan laut yang tidak diwartakan.

"Susulan maklumat hasil serbuan pertama, satu lagi tangkapan berjaya dilakukan kira-kira jam 1 pagi di pesisir pantai Sungai Pulai melibatkan dua lagi warga Indonesia yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia melalui laluan sama.

"Kedua-dua individu terbabit dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal secara tidak sah," katanya.

Menurut Rusley, semua suspek yang ditahan termasuk tekong dan awak-awak tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

"Kesemua individu yang diberkas disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan tangkapan seramai 32 orang, terdiri daripada 30 lelaki dan dua wanita warga Indonesia," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah bot yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM200,000.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!