Sabak Bernam Waterfront terbiar bukan di bawah seliaan MDSB

SHAH ALAM – Rumah Rehat Sabak Bernam (RRSB) yang terletak dalam kawasan pelancongan Sabak Bernam Waterfront dibiarkan terbiar tanpa sebarang penyelenggaraan sejak sekian lama kerana premis tersebut bukan di bawah kawalan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).
MDSB dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa status pemilikan premis yang tidak berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyebabkan sebarang kerja penyelenggaraan tidak dapat dijalankan sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut MDSB, menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama, RRSB telah dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi untuk dijadikan ‘focal point’ dalam pembangunan daerah tersebut, sekali gus menjadi antara fokus utama Jawatankuasa Perundingan Sabak Bernam (SBCC) dalam Rancangan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).
“Terbaharu, SBCC mencadangkan agar MDSB mengambil peranan untuk menyelenggara dan membangunkan semula bangunan tersebut dengan sokongan peruntukan yang telah disediakan bagi tujuan berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Sehubungan itu, MDSB merancang untuk menaik taraf dan memajukan kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan berkonsepkan warisan, selari dengan Rancangan Tempatan MDSB 2025 yang memberi tumpuan kepada pembangunan Sabak Bernam sebagai Bandar Warisan Tepian Sungai.
“MDSB akan terus mencari peruntukan dan bekerjasama dengan pelabur yang berminat bagi menghidupkan semula kawasan berkenaan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa pusat perniagaan Sabak Bernam Waterfront yang dahulunya menjadi lokasi tumpuan pelancong kini kelihatan suram dan terbiar, apabila hanya empat daripada lebih 20 unit kedai masih beroperasi.
Tinjauan mendapati kawasan yang dibangunkan sebagai tarikan pelancongan itu kini sepi, dengan hanya beberapa premis seperti kedai gunting rambut, butik pengantin, kedai aksesori helmet dan bengkel membaiki telefon bimbit yang masih bertahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

