PM terima penghormatan tinggi di Perancis - Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan bahawa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis baru-baru ini tidak mendapat sambutan selayaknya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menurutnya, lawatan tersebut dilakukan ketika Anwar dalam perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri sidang BRICS.
“Kami di pihak Wisma Putra sebenarnya menerima jemputan daripada dua negara, iaitu Itali dan Perancis, yang telah lama menjemput Perdana Menteri ke sana. Maka, dalam perjalanan ke Brazil, kami mengambil peluang untuk singgah ke Perancis.
“Ia bukanlah lawatan rasmi sepenuhnya. Jika lawatan rasmi, sudah tentu perjalanan terus diatur ke negara berkenaan. Dalam hal ini, ia lebih kepada singgah, namun Perdana Menteri tetap menerima penghormatan rasmi termasuk pemeriksaan barisan kehormatan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoalkan tahap protokol sambutan terhadap Anwar sebagai Pengerusi ASEAN berbanding sambutan terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Mohamad menjelaskan bahawa walaupun bukan lawatan rasmi, kunjungan itu tetap membawa makna penting kerana Anwar telah mengadakan perbincangan dua hala bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron. Situasi yang sama turut berlaku semasa persinggahan di Itali.
“Sekiranya pada masa akan datang kita mengadakan lawatan rasmi ke Perancis, saya yakin sambutan yang akan diberikan adalah setaraf dengan negara-negara lain yang pernah menerima lawatan rasmi Malaysia,” katanya lagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

