Presiden Tunisia pecat Perdana Menteri

Kamel Madouri. Foto AFP
Kamel Madouri. Foto AFP
A
A
A

TUNIS (Tunisia) - Presiden Tunisia, Kais Saied memecat Perdana Menteri, Kamel Madouri dan menggantikannya dengan Sara Zafrani Zanzari, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan pada Jumaat, pejabat Presiden Tunisia memaklumkan Saied membuat keputusan pada 20 Mac 2025, untuk menamatkan tugas Madouri sebagai Perdana Menteri dan melantik Zanzari sebagai penggantinya.

Presiden tidak memberikan sebarang sebab pemecatan Madouri.

Zanzari sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Peralatan sejak Oktober 2021.

Presiden Kais Saied (kanan) menerima kunjungan Perdana Menteri yang baru dilantik, Sarra Zaafrani Zenzri di Istana Carthage, Tunis. Foto AFP
Presiden Kais Saied (kanan) menerima kunjungan Perdana Menteri yang baru dilantik, Sarra Zaafrani Zenzri di Istana Carthage, Tunis. Foto AFP

Sebelum ini, beliau adalah Ketua Pengarah Jambatan dan Jalan Raya dalam kementerian yang sama.

Madouri dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2024, berikutan peletakan jawatan Ahmed Hachani.

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Madouri berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial.

Dalam perkembangan lain, Presiden Saied turut melantik Salah Zouari sebagai Menteri Perumahan dan Peralatan yang baharu.

Sejak langkah luar biasa Saied pada 25 Julai 2021, termasuk pembubaran badan kehakiman dan parlimen, Zanzari menjadi Perdana Menteri keempat Tunisia dalam tempoh tersebut.

Tunisia sedang berdepan krisis politik yang semakin meruncing, sekali gus memburukkan lagi keadaan ekonomi negara itu sejak 2021. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!