Penyu lipas ditemui lemah, cedera disyaki dibuang ke laut

Siasatan awal mendapati penyu itu dipercayai telah lama berada di atas bot sebelum dibuang.
Siasatan awal mendapati penyu itu dipercayai telah lama berada di atas bot sebelum dibuang.
A
A
A

SABAK BERNAM – Seekor penyu lipas betina dipercayai dibuang dari sebuah bot ditemukan dalam keadaan lemah sebelum diselamatkan oleh orang awam berhampiran Pintu Kunci Air Sungai Besar di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang sebelum sepasukan pegawai dari Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam bersama Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan digerakkan ke lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati penyu itu dipercayai telah lama berada di atas bot sebelum dibuang semula ke laut berhampiran jeti Bagan Sungai Besar oleh individu tidak dikenali.

"Saksi yang menyedari keadaan penyu itu segera menghubungi pejabat kami dan tindakan pantas ini telah menyelamatkan nyawa seekor spesies marin yang semakin terancam," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Noraisyah, pemeriksaan mendapati penyu lipas berkenaan berusia sekitar 10 tahun dengan anggaran berat 22 kilogram serta mengalami kecederaan ringan pada kedua-dua sirip dipercayai akibat terkena jaring.

Jelasnya, pasukan penyelamat telah menjalankan rawatan awal termasuk membasahkan badan penyu dan memeriksa keadaannya sebelum dibawa ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Segari, Perak untuk pemantauan lanjut.

"Penyu lipas atau nama saintifiknya Lepidochelys olivacea merupakan spesies yang jarang ditemui di perairan Selangor kerana pantainya yang berlumpur dan tidak sesuai untuk pendaratan semula jadi.

"Bagaimanapun, kawasan perairan ini tetap menjadi laluan migrasi bagi penyu dan kejadian seumpama ini menunjukkan pentingnya peranan masyarakat dalam pemuliharaan hidupan marin," katanya.

Noraisyah berkata, sehingga kini tiada sebarang rekod pendaratan penyu untuk bertelur di Selangor, namun ia biasa berlaku di negeri bersebelahan seperti Perak dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tindakan membuang penyu ke laut tanpa pemantauan atau pelaporan yang sah bukan sahaja kejam malah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Jabatan akan terus menyiasat kemungkinan berlaku kecuaian dalam insiden ini dan meminta komuniti nelayan serta masyarakat umum bekerjasama dalam melindungi khazanah laut negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!