Sabak Bernam Waterfront terbiar, hanya 4 kedai masih beroperasi

SABAK BERNAM – Dahulu merupakan antara lokasi tumpuan pelancong dan penduduk setempat, pusat perniagaan Sabak Bernam Waterfront kini kelihatan suram dan terbiar apabila hanya empat daripada lebih 20 unit kedai masih beroperasi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan yang dibangunkan sebagai tarikan pelancongan itu kini sepi, dengan hanya beberapa premis seperti kedai gunting rambut, butik pengantin, kedai aksesori helmet dan membaiki telefon bimbit yang masih bertahan.
Pekerja kedai gunting rambut, Mohd Arif Hishamuddin, 24, berkata, kebanyakan unit kedai di kawasan itu telah lama kosong dan tidak lagi disewa.
“Kalau ikutkan, cuma tiga atau empat unit sahaja yang masih beroperasi. Keadaan ini sudah lama berlaku.
“Saya kerja di sini lebih setahun lalu. Kawasan ini gelap pada waktu malam, cuma lampu di koridor yang berfungsi. Kawasan parkir langsung tiada lampu,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Menurutnya, keadaan bertambah teruk selepas penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai peniaga terpaksa menghentikan operasi.
“Dari segi penyelenggaraan juga teruk. Lantai banyak yang pecah dan tandas hanya digunakan untuk buang air kecil kerana tidak dijaga,” tambahnya.
Sementara itu, pekerja kedai membaiki telefon bimbit, Addin Subhi, 21, berkata, kawasan itu semakin tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.
“Dulu meriah, tapi lepas satu-satu kedai tutup, terus jadi sunyi. Kedai makan pun biasanya tak bertahan lama,” katanya.
Bagi pekerja pembersihan di sebuah kolej kemahiran berhampiran, Razwan Sabar, 43, Sabak Bernam Waterfront mempunyai potensi sebagai pusat pelancongan, namun kini seolah-olah terbiar.
“Tempat ini sebenarnya ada potensi. Tapi mungkin kurang promosi menyebabkan peniaga takut nak ambil risiko berniaga di sini,” ujarnya.
Razwan turut menyuarakan kebimbangan terhadap faktor keselamatan apabila kawasan belakang premis kini sering menjadi lokasi haiwan liar seperti monyet dan anjing berkeliaran.
“Belakang kawasan ni dah jadi tempat haiwan liar berkumpul. Bahaya, terutama waktu malam,” katanya.
Sementara itu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan maklum balas mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

