Air Terjun Lubuk Kain kembali ragut nyawa, rekod kematian ke 14 akibat lemas

Mayat mangsa dibawa naik oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat selepas ditemukan di dasar air terjun dalam kejadian pada Sabtu. - Foto: Facebook Ghazali Sulaiman
Mayat mangsa dibawa naik oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat selepas ditemukan di dasar air terjun dalam kejadian pada Sabtu. - Foto: Facebook Ghazali Sulaiman
A
A
A

DUNGUN – Tragedi lemas yang meragut nyawa seorang pemuda di Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Shukor, Hulu Dungun pada Sabtu menjadikan jumlah korban di kawasan berkenaan mencecah 14 orang sejak ia dibuka kepada umum sekitar tahun 1980-an.

Mangsa, Muhammad Asri Anuar, 21, yang bekerja dalam sektor minyak dan gas di Kerteh, Kemaman ditemukan lemas selepas mandi di kawasan larangan di bahagian atas air terjun tersebut bersama tiga rakannya.

Mayat mangsa ditemui di dasar air terjun kira-kira jam 1.40 tengah hari oleh penduduk kampung ketika usaha mencari dilakukan sebaik menerima maklumat awal mengenai kejadian itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian itu merupakan kes lemas pertama direkodkan di lokasi berkenaan pada tahun ini selepas ia ditutup ketika pandemik Covid-19.

"Sejak kawasan ini dibuka sekitar tahun 1980-an, sudah 14 nyawa terkorban dan insiden terbaru ini adalah kes pertama selepas pandemik serta yang pertama bagi tahun ini.

"Kebanyakan kejadian lemas berlaku di kawasan atas air terjun yang memang dilarang mandi. Bahagian bawah air cetek dan tidak terlalu berbahaya tetapi kawasan atas berbatu, dalam dan sangat berisiko," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil inisiatif menambah papan tanda amaran keselamatan bagi memberi kesedaran kepada pengunjung, terutama dari luar kawasan.

"Biasanya yang jadi mangsa ialah pengunjung luar kerana mereka tidak tahu selok-belok kawasan ini.

"Penduduk kampung sudah maklum bahagian mana yang selamat dan kawasan mana yang berbahaya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada Sabtu, mangsa dan tiga rakannya dilaporkan tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari dan mula berkelah serta mandi di kawasan cetek.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan pergi ke kawasan larangan bersama seorang lagi rakan dan bertindak terjun ke dalam air.

Orang ramai dan pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa lemas di Air Terjun Lubuk Kain, Dungun.
Foto: Facebook Ghazali Sulaiman
Orang ramai dan pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa lemas di Air Terjun Lubuk Kain, Dungun. Foto: Facebook Ghazali Sulaiman

Rakannya yang menyedari mangsa tidak timbul segera meminta bantuan penduduk kampung.

Seorang penduduk, Zakaria Mahusin, 68, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian bersama orang kampung untuk mencari mangsa.

"Kawasan itu memang berisiko. Ramai tak berani terjun. Tapi saya dah biasa menyelam bantu cari mangsa lemas. Kali ini kami jumpa dia di dasar sungai. Kami ikat dan bawa naik, malangnya waktu diselamatkan tu dia sudah tidak bernyawa," katanya.

Jelasnya lagi, Air Terjun Lubuk Kain merupakan kawasan tumpuan ramai, namun sebahagian besar pengunjung masih mengabaikan papan tanda larangan yang telah dipasang.

"Lokasi lemas ini memang sudah ada papan tanda larangan. Tapi masih ada yang degil. Setakat ini, kawasan larangan itulah yang kerap meragut nyawa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!