Keputusan Zayn Rayyan antara mencuri tumpuan minggu depan

KUALA LUMPUR – Nasib sama ada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin dibebaskan atau diperintah membela diri atas satu kes pengabaian kanak-kanak autisme itu, akan diputuskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Isnin ini.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh dijangka membaca keputusan di akhir kes pendakwaan, pada jam 9 pagi.
Sekiranya mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf akan dibebaskan serta merta.
Andai kata mahkamah berpendapat sebaliknya, suami isteri berusia 30 tahun itu akan diperintah membela diri bagi membebaskan mereka daripada pertuduhan berkenaan.
Mahkamah kemudiannya menawarkan tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.
Kedua pula, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh atau ketiga, berdiam diri serta tidak menjawab pertuduhan.
Bagaimanapun, ada juga kemungkinan, mahkamah berpendapat hanya salah seorang daripada kedua-dua tertuduh itu diperintah membela diri sementara seorang lagi dibebaskan serta merta.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pada Isnin ini juga, Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan mendengar hujahan rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi, untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Salah satunya ialah sama ada Perdana Menteri berkenaan mempunyai imuniti daripada sebarang kes saman sivil.
Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Beliau turut memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa dia telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Dalam prosiding lalu, Anwar, 78, diwakili peguam-peguamnya, Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, Datuk Seri K Raja Segaran dan Alan Wong Teck Wei sementara peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali bagi pihak Yusoff, 32.
Peguam, Haniff Khatri Abdullah pula hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) sementara peguam, Vivek Sukumaran untuk Badan Peguam Malaysia.
Selain itu, Mahkamah Sesyen Ampang menetapkan Selasa ini untuk sebutan kes seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) didakwa atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di masjid dekat Batang Kali.
Prosiding terhadap tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, dijalankan di hadapan Hakim, Norshila Kamarudin.
Pada 27 Mac lalu, tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan terbabit.
Dalam prosiding lalu, peguam memaklumkan pembelaan akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie sementara tertuduh diwakili peguam, Lingswaran Singh
Pada 27 Februari lalu, lelaki itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan bagi maksud seksual di sebuah masjid di Batang Kali di sini, pada jam 6.20 pagi, 21 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Polis Hulu Selangor memaklumkan telah menerima laporan berhubung kejadian yang tular di media sosial, sebelum suspek ditahan di sekitar Batang Kali.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Dalam kejadian itu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
Pada Rabu pula, pertuduhan terhadap seorang lelaki warga Pakistan atas empat kes seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki dan satu merompak akan dibuat di dua Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rabu ini.
Lelaki berusia 24 tahun sepatutnya dituduh pada Jumaat lalu, namun ditangguhkan kerana suspek tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.
Disebabkan perkara berkenaan, pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibacakan lalu mahkamah menetapkan 23 Julai sebagai tarikh baharu pendakwaan dengan kehadiran jurubahasa Urdu.
Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin dan Roshaira Rosly, sementara suspek tidak diwakili peguam.
Selain itu, mahkamah dijangka akan dimaklumkan mengenai perkembangan terhadap kes seorang pemuda warga asing yang direman bagi membantu siasatan kes menyerang dan mengelar bekas kekasihnya di sebuah universiti swasta di Subang Jaya.
Tempoh reman penuntut lelaki berusia 21 tahun itu dilanjutkan sehingga Isnin bagi membantu siasatan kes terbaibit.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
Sebelum ini, mangsa yang juga warga asing berusia 20 tahun, mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku di sebuah universiti swasta di Subang Jaya pada petang Isnin, 14 Julai lalu.
Suspek ditahan serta-merta di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

