Rumah Besar Raja Bilah tarikan warisan Perak

BATU GAJAH – Terletak di pekan kecil yang kaya dengan sejarah, Rumah Besar Raja Bilah di Papan, di sini semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan warisan yang wajib dikunjungi di Perak.
Rumah Besar Raja Bilah atau Bagas Godang yang dibina pada tahun 1896 sebenarnya merupakan kesinambungan kepada rumah asal Raja Bilah yang dibina pada tahun 1882, selepas beliau dilantik sebagai Penghulu Papan yang pertama.
Dibina dengan konsep Sopo Godang atau dewan majlis, rumah ini menjadi tempat pertemuan pemimpin, acara rasmi, kenduri dan kelas agama.
Struktur asal rumah besar ini lengkap dengan tembok batu, gerbang bertarikh 1896 dan laluan bertangga batu, serta sebuah bilik khas dikenali Balai Penghulu.
Mengikut catatan sejarah, Raja Bilah mengetuai masyarakat Mandailing di Perak sejak tahun 1870-an selepas kematian bapanya pada tahun 1877.
Beliau memajukan perlombongan bijih timah di Papan hingga menjadi antara pusat perlombongan Melayu terbesar di Lembah Kinta sebelum bersara pada 31 Januari 1909 dan meninggal dunia dua tahun kemudian.

Rumah besar ini turut menjadi saksi keharmonian masyarakat berbilang kaum iaitu Melayu Mandailing, Cina, India dan Eropah yang hidup secara rukun di bawah pentadbiran Raja Bilah dan Raja Yacob.
Menariknya, rumah ini pernah mendapat perhatian umum sekitar tahun 2011 apabila dijadikan lokasi penggambaran sebuah filem, sekali gus memperkenalkannya kepada generasi baharu.
Di sekeliling rumah utama juga terdapat bangunan-bangunan sokongan seperti surau, rumah asal dan rumah bilal, yang menambah nilai kepada tapak warisan ini.
Usaha memperkenalkan tapak bersejarah ini kepada umum dipergiat dengan pemasangan papan tanda maklumat yang bakal membantu pelancong mengenali sejarah gemilang kawasan ini.
Inisiatif yang digerakkan oleh Persatuan Warisan Perak (PHS) dengan kerjasama Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Geopark Lembah Kinta, Areca Book, Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) dan waris keluarga Raja Bilah itu diharap menjadi pemangkin kepada pelestarian pekan Papan yang pernah gah suatu ketika dahulu.
Presiden PHS, Mohd Tajuddin Mohd Tahir berkata, papan tanda yang baru dipasang itu bukan sekadar hiasan, malah memainkan peranan penting dalam menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah Rumah Besar Raja Bilah kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
“Papan bukan sekadar pekan lama, tetapi merupakan tapak sejarah penting masyarakat Melayu Mandailing, tempat berkembangnya ekonomi, politik dan budaya mereka sekitar akhir abad ke-19.
“Rumah Besar Raja Bilah ini adalah lambang kegemilangan Kota Papan, ia perlu diketengahkan sebagai tarikan utama pelancongan,” katanya.
Sementara itu, generasi kelima, Aziah Abdullah, 47, yang kini memegang kunci rumah tersebut, berkongsi kebimbangan terhadap keadaan fizikal rumah tersebut.

“Bumbungnya bocor dan berbahaya. Sebab itu kami terpaksa menutupnya kepada umum buat masa ini. Hanya bahagian luar bangunan yang dibenarkan untuk dilihat oleh pengunjung.
“Saya juga sentiasa memantau kawasan ini untuk mengelakkan aktiviti tidak sepatutnya berlaku seperti kecurian, perbuatan khurafat dan sebagainya,” katanya.
Walaupun rumah ini kini tidak dibuka kepada umum, keindahan dan keunikan seni binanya tetap boleh dinikmati dari luar.
Ia menjadi tarikan utama kepada pengunjung yang datang ke Papan, sebuah pekan yang kaya dengan bangunan kolonial, sejarah perjuangan dan warisan komuniti pelbagai kaum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

