Suami isteri, dua pengarah direman kes rasuah projek pusat data RM180 juta

PUTRAJAYA - Seorang pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan terkemuka, isterinya serta dua pengarah syarikat direman untuk siasatan berkaitan kes rasuah projek pembinaan pusat data bernilai kira-kira RM180 juta di Johor.
Perintah reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat selepas permohonan dibuat SPRM.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan pengurus kontrak lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 24 Julai, manakala isterinya direman tiga hari hingga 21 Julai.
Dua lagi suspek lelaki yang merupakan pengarah syarikat pula direman selama lima hari sehingga 22 Julai.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan dalam satu operasi khas dinamakan Op Ways yang dijalankan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang pada Khamis.
Dalam operasi itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah milik pengurus kontrak berkenaan.
Sumber berkata, wang tunai tersebut dipercayai bayaran rasuah yang diterima suspek sebagai balasan bagi mendapatkan enam tender projek pembinaan pusat data tersebut.
"Siasatan awal mendapati suspek telah menetapkan bayaran rasuah sebanyak 2.5 peratus daripada nilai setiap tender perolehan projek yang diberikan kepada dua syarikat berkenaan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

