[VIDEO] Pekerja kedai pancing didakwa bunuh bayi
ALOR GAJAH – Seorang pekerja kedai menjual alat memancing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan berusia 19 bulan, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian bayi perempuan berusia 19 bulan di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, kira-kira jam 9 malam pada 6 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri yang tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu untuk laporan bedah siasat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Dr Teoh Shu Yee kemudian memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 7 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan seorang bayi perempuan disyaki maut akibat didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya di sebuah kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang.
Kejadian terbongkar selepas wanita berusia 24 tahun yang telah bercerai tahun lalu membawa anaknya ke Hospital Tampin kira-kira jam 11 malam, selepas bayi itu tidak sedarkan diri.
Sumber memaklumkan, hasil pemeriksaan doktor menemui kesan lebam pada perut dan belakang badan mangsa, selain kecederaan serius pada bahagian dubur, sebelum laporan polis dibuat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
