BNM perlu perkenal polisi galak bank longgar bayaran pinjaman: MEF

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) digesa menyediakan satu polisi kewangan jelas bagi melonggarkan insentif pembayaran semula pinjaman bank kepada peminjam terdiri pekerja swasta sepanjang tempoh pandemik wabak koronavirus (Covid-19).

Presiden Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan berkata, gesaan itu berasas memandangkan situasi Covid-19 yang semakin membimbangkan di seluruh negara menyebabkan banyak syarikat swasta terpaksa meminta pekerja mereka mengambil cuti tanpa gaji untuk satu tempoh tertentu.

Menurutnya, langkah itu terpaksa diambil banyak syarikat dari pelbagai industri di negara ini bagi menangani situasi perniagaan yang mengalami kemelesetan lebih 50 peratus dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

"Sebenarnya sesetengah sektor perniagaan menanggung kerugian amat tinggi seperti penerbangan dan perhotelan di mana syarikat terpaksa meminta pekerja bercuti tanpa gaji bagi mengelakkan situasi pembuangan kerja besar-besaran sejak wabak Covid-19 berlaku.

"Dalam keadaan sedemikian, sektor kewangan perlu prihatin dan memberikan kelonggaran pembayaran pembiayaan pinjaman kepada pekerja-pekerja diarahkan cuti tanpa gaji oleh majikan memandangkan ketika ini kemudahan itu hanya diberikan kepada syarikat sahaja.

"Meskipun kelonggaran pembayaran balik pinjaman daripada peminjam adalah di atas budi bicara pihak bank, MEF berpandangan satu polisi jelas untuk membenarkan bank melonggarkannya perlu diperkenalkan BNM bagi memastikan semua pihak mematuhinya," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengenai cadangan cuti kuarantin kepada penjawat awam disyaki positif Covid-19 perlu terpakai kepada pekerja swasta, Shamsudin menegaskan perkara itu sudah dipraktikkan dalam sektor swasta meskipun tiada istilah khusus berkenaan cuti sedemikian termaktub dalam Akta Pekerja 1955.

Menurutnya, apabila mana-mana pekerja sesebuah syarikat disyaki terlibat dengan Covid-19, mereka diminta untuk duduk di rumah atau bekerja dari rumah sehingga ujian pengesahan wabak itu diputuskan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya mereka positif menghidap penyakit Covid-19, mereka akan diberikan cuti sakit berdasarkan tempoh kuarantin yang diputuskan hospital yang merawat.

"Bagaimanapun, jika segelintir pekerja disahkan menghidap Covid-19, namun bukan disebabkan urusan kerja, syarikat boleh mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji kerana pekerja itu mungkin melanggar notis berjaga-jaga dikeluarkan syarikat berkenaan," katanya.

Di sebalik ancaman kemelesetan ekonomi serius disebabkan Covid-19, Shamsudin berterusan menyarankan semua majikan agar menjadikan langkah pemberhentian pekerja sebagai jalan terakhir.

"Kalau kita lihat sektor swasta secara formal di mana mereka mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertumbuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jumlah keseluruhan mereka adalah 6.8 juta.

"Ancaman pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan dan penerbangan sahaja, bukan 6.8 juta pekerja di semua sektor turut merasai kesan negatif disebabkan wabak itu.

"Lebih membimbangkan, ancaman Covid-19 berlaku pada saat banyak syarikat dalam proses penstrukturan semula dan tidak keterlaluan untuk MEF mengulangi jangkaan pekerja yang bakal diberhentikan kerja boleh mencecah 100,000 orang sekiranya tiada langkah proaktif diambil," katanya.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan dua syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Aviation Group (MAG) dan AirAsia Bhd melaksanakan langkah mengurangkan gaji kakitangan untuk tempoh beberapa bulan dalam usaha menangani kesan Covid-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat.

MAG turut menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuat kuasa bulan depan.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 1,576 penerbangan daripada syarikat penerbangan Malaysia sejak 1 Januari sehingga 29 Februari lalu telah dibatalkan ekoran wabak Covid-19.