Hati-hati jadikan anak sebagai content

DALAM zaman era digital yang semakin pesat berkembang, perkongsian kehidupan peribadi di media sosial sudah menjadi perkara biasa.
Bukan saja berkongsi kegembiraan atau kejayaan, malah ada yang tanpa segan silu berkongsi cerita yang tidak sewajarnya termasuk soal ‘dalam kain’ sendiri.
Namun trend ibu bapa menjadikan anak-anak sebagai kandungan di media sosial hari ini perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana dikhuatiri boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak tersebut.
Di manakah ruang privasi anak kecil itu apabila segala-galanya ‘dijaja’ di alam maya sedangkan pada usia sebegitu mereka masih belum mengenal apa-apa.
Kesan pendedahan terlalu awal di media sosial mungkin tidak dirasai serta-merta, tetapi besar kemungkinan mereka akan membesar dalam persekitaran yang tidak sihat atau berisiko berdepan masalah psikologi.
Bagi sesetengah ibu bapa mungkin sekadar mahu mengabadikan kenangan untuk tatapan sendiri dan keluarga, apatah pula melihat keletah anak-anak yang mencuit hati.
Bagaimanapun, daripada sekadar suka-suka ada yang dilihat mula menjadikan anak-anak sebagai sumber meraih pendapatan lumayan di media sosial.
Mana tidaknya, anak-anak kecil yang comel dan petah sering mendapat perhatian netizen, malah angka tontonan boleh mencecah jutaan.
Dari seorang anak kecil yang biasa, kini mereka dilihat lebih popular dan menjadi perhatian pelbagai pihak.
Sudahnya, ibu bapa yang pada awalnya tidak mempunyai apa-apa niat mula menjadi semakin ghairah berkongsi sehingga memaksa anak buat itu dan ini.
Baru-baru ini, bapa kepada seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Abang Aji di TikTok dikritik apabila dilihat sering berkongsi video yang menampilkan anaknya dengan keadaan fizikal montel makan secara berlebihan.
Bagaimanapun menerusi satu video, lelaki itu menjelaskan semua makanan yang diambil oleh anak lelakinya yang berusia empat tahun itu berada di bawah pemantauan rapi dan kandungan yang dimuat naik hanyalah untuk hiburan semata-mata.
Penjelasan lelaki itu menimbulkan rasa tidak puas hati ramai yang merasakan tindakannya yang menjadikan anak sekecil itu sebagai content dengan cara sebegitu adalah tidak wajar.
Di Malaysia, belum ada undang-undang khusus yang melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi digital oleh ibu bapa sendiri.
Walaupun Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan perlindungan terhadap penderaan fizikal dan emosi, ia belum mencakupi isu kandungan digital secara langsung.
Budaya oversharing membawa kepada pendedahan maklumat peribadi anak termasuk lokasi, jadual harian atau keadaan kesihatan sebenarnya berpotensi mengundang bahaya seperti pengintipan, penculikan atau eksploitasi oleh pihak ketiga.
Tidak salah untuk berkongsi detik bahagia bersama anak di media sosial, namun berpada-padalah.
Fikir juga, adakah kandungan itu memalukan atau mengaibkan anak suatu hari nanti.
Adakah saya berkongsi demi kenangan, atau demi likes dan tajaan? Adakah anak saya diberi ruang untuk berkata “tidak”?
Hormatilah sempadan privasi anak dengan mengelak daripada memuat naik emosi seperti marah, menangis atau dalam keadaan tidak sopan dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan anak lebih daripada perhatian awam.
Kita mungkin berniat untuk mengabadikan kenangan manis, tetapi dalam dunia digital yang kekal, tanggungjawab moral dan etika perlu mendahului keinginan untuk mendapat ‘FYP’.
Anak bukan bahan tontonan, mereka adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh hormat, bukan dijadikan bahan content tanpa sempadan.
*Syamilah Zulkifli ialah Wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

