Kursus pemulihan pemegang lesen PSV, GDL digantung bermula November - JPJ

BANGI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan projek rintis kursus pemulihan kepada pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung akibat kesalahan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, projek rintis itu akan bermula pada November depan.
Menurutnya, kursus tersebut bertujuan memberi peluang kepada pemandu terlibat untuk mengikuti kursus pemulihan sebelum kelayakan lesen mereka dipertimbangkan semula.
“Mereka wajib menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen tersebut diberikan semula. Perkara ini akan dilaksanakan dan kini dalam peringkat perincian.
“Kita sedang meneliti beberapa perkara lagi bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk melaksanakan program ini, dan ia mungkin akan dimulakan secara rintis terlebih dahulu mulai November tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Aedy Fadly sebelum itu hadir dalam sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori, Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya.
Mengulas lanjut, ujar Aedy, pihaknya melihat kepentingan latihan lanjutan dan juga kursus pemulihan ini untuk mengingatkan semula pemandu akan peraturan jalan raya.
Beliau berkata, buat masa ini, pelaksanaan kursus pemulihan ditumpukan kepada pemegang lesen PSV dan GDL sebelum diperluaskan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Tambah beliau, objektif utama kursus pemulihan tersebut adalah untuk meningkatkan keselamatan jalan raya selain memperkukuh tahap profesionalisme dalam kalangan pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan barangan.
Katanya, JPJ telah memulakan tindakan pembatalan lesen vokasional.
“Mana-mana pemandu barangan atau bas yang terlibat dalam kemalangan serius akan digantung lesen, tetapi seperti diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, ia mengikut kategori.
“Bukan JPJ terus menggantung lesen serta-merta. Notis tunjuk sebab akan dikeluarkan terlebih dahulu dan penilaian akan dibuat sama ada perlu digantung atau tidak. Pengarah JPJ negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan ini,” ujarnya.
Katanya lagi, penggantungan lesen hanya melibatkan PSV dan GDL, dan tidak melibatkan lesen motosikal serta kereta bagi pemandu terbabit.
“Sehingga kini, terdapat lima pemandu yang digantung lesen PSV. Ia bukan bersifat berterusan atau kekal, dan terdapat perincian serta tempohnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
