'Perlahankan lori lepas nampak JPJ'

Operasi khas kenderaan perdagangan dijalankan JPJ Selangor dengan kerjasama BSPT IPD Klang Selatan di sekitar Pulau Indah, Klang pada Khamis.
Operasi khas kenderaan perdagangan dijalankan JPJ Selangor dengan kerjasama BSPT IPD Klang Selatan di sekitar Pulau Indah, Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG – Pemanduan laju segelintir pemandu kenderaan perdagangan yang melalui Lebuhraya Pulau Indah sehingga ke Pelabuhan Klang di sini diperlahankan seketika selepas melihat rondaan dan operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis.

Situasi itu dikesan sepanjang Op Khas yang dilaksanakan JPJ Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Operasi bermula jam 9 pagi itu melibatkan tiga sekatan jalan raya selain penyamaran menggunakan kenderaan tanpa logo jabatan.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 102 pelbagai jenis kenderaan telah diambil tindakan hasil pemeriksaan ke atas 344 kenderaan.

Menurutnya, 285 notis telah dikeluarkan ke atas pelbagai jenis kenderaan termasuk lori, melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, kesalahan teknikal serta memandu di lorong kanan secara berterusan.

JPJ Selangor keluarkan 285 notis kepada kenderaan perdagangan dalam Op Khas di Lebuhraya Pulau Indah.
JPJ Selangor keluarkan 285 notis kepada kenderaan perdagangan dalam Op Khas di Lebuhraya Pulau Indah.

“Beberapa aduan telah diterima JPJ daripada pengguna jalan raya berkaitan isu ini.

“Operasi hari ini memfokuskan kenderaan berat yang dipandu di lorong kanan secara berterusan, melebihi had laju yang ditetapkan, selain pemeriksaan fizikal kenderaan, pemandu serta dokumen dan muatan dibawa,” katanya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, operasi ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran kepada pemandu bahawa tingkah laku mereka di jalan raya sentiasa diperhatikan.

Jelas beliau, semua pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Jadilah mata-mata kami dengan melaporkan aduan berkaitan lalu lintas melalui aplikasi MyJPJ di e-Aduan@jpj atau melalui e-mel JPJ di aduantrafik@jpj.gov.my,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!