Pempengaruh hilang: Ija Nizaruddin keluar rumah untuk baiki kereta

Laporan Sinar Harian berhubung pempengaruh permotoran hilang, kereta ditemui dalam sungai. Gambar kecil: Raiz Mukhliz Azman
Laporan Sinar Harian berhubung pempengaruh permotoran hilang, kereta ditemui dalam sungai. Gambar kecil: Raiz Mukhliz Azman
A
A
A

MUAR – Hasrat seorang pempengaruh permotoran untuk membaiki keretanya bertukar tragedi apabila dia dilaporkan hilang selepas kenderaan yang dipandunya ditemui tenggelam di Sungai Tui, Bukit Kepong, pada petang Selasa.

Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin difahamkan keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah 7/6, Johor Bahru kira-kira jam 9.30 pagi menuju ke Parit Bakar, Muar untuk membaiki kereta.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan sebuah kereta berwarna putih di dalam sungai berhampiran kawasan kebun kelapa sawit kira-kira jam 3 petang.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut milik mangsa yang kali terakhir dilihat ketika keluar rumah untuk membaiki kenderaan.

“Setakat ini, operasi mengeluarkan kenderaan sedang dijalankan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh serta Muar, namun mangsa masih belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan malam Selasa.

Beliau berkata, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut giat menjalankan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-9564800 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!