SST buah import bakal lonjak permintaan buah tempatan - FAMA

Abdul Rashid
Abdul Rashid
A
A
A

REMBAU - Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import dijangka mampu merangsang permintaan terhadap hasil pertanian tempatan.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, walaupun masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan pelaksanaan SST terhadap pasaran buah-buahan, trend semasa menunjukkan perubahan ke arah sokongan kepada produk tempatan.

“FAMA juga telah mengambil langkah proaktif dengan memperluaskan kempen menggalakkan rakyat memilih buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan.

“Kita telah diarahkan oleh kerajaan untuk memperluaskan kempen ini. Sebelum ini sudah dijalankan, namun kali ini pendekatannya lebih meluas termasuk di sekolah, program Agro Madani, Hari Peladang dan FAMA Fest peringkat kebangsaan pada 27 Julai ini,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Outlet Kopiesatu di Petron Pedas di sini pada Khamis.

Mengenai pelaksaan SST itu, beliau berkata, tidak menerima aduan di lapangan walaupun sebekum ini awal menerima reaksi kurang senang akan pelaksanaan sistem itu.

“Tak ramai yang merungut hanya peringkat awal saja begitu tapi selepas pelaksanaan, kesannya tidak begitu ketara namun akan kita lihat permintaan terhadap produk tempatan semakin meningkat terutama buah-buahan.

“Buah-buahan tempatan seperti pisang dan nenas kini menjadi pilihan utama pihak katering bagi majlis-majlis rasmi kerajaan, menggantikan buah import seperti epal, oren dan anggur,” ujar beliau.

Tambah beliau, walaupun tiada angka rasmi dikeluarkan namun FAMA menerima banyak pertanyaan dan permintaan bekalan buah-buahan tempatan daripada penganjur program kerajaan dan swasta.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran angka, namun permintaan terhadap produk tempatan memang meningkat, terutama dalam program dan majlis kerajaan yang kini lebih cenderung menggunakan menu berasaskan hasil tempatan.

Artikel Berkaitan:

“FAMA berharap pelaksanaan SST dan kempen berterusan akan terus mengubah corak permintaan pengguna ke arah menyokong pengeluaran tempatan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani tempatan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, industri kopi tempatan terus diperkukuh menerusi pembukaan outlet terbaharu jenama milik penuh FAMA Kopiesatu di Petron Pedas.

Ujarnya, objektif utama penubuhan Kopiesatu yang telah berada di pasaran sejak 2001 adalah untuk menjadi peneraju kepada usahawan kecil dan sederhana dalam industri kopi, memenuhi permintaan produk kopi tempatan dan mempromosikan industri asas tani negara.

Tambah beliau, Kopiesatu turut memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan jenama kopi tempatan yang berkualiti tinggi serta berdaya saing.

Sehingga kini, Kopiesatu telah membangunkan 23 outlet seluruh negara dengan lima daripadanya beroperasi di Negeri Sembilan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!