Isu penjualan tanah: Ramasamy tarik balik saman terhadap Kon Yeow

GEORGE TOWN - Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy, hari ini menarik balik saman fitnah terhadap Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berhubung isu kontroversi penjualan tanah di Batu Kawan.
Dalam penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Helmi Ghani di sini, peguam Dr Shamsher Thind Singh yang mewakili Ramasamy sebagai plaintif memaklumkan bahawa anak guamnya bersetuju untuk memberhentikan guaman tersebut tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.
Keputusan itu dibuat selepas Ramasamy menerima penjelasan daripada Kon Yeow bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada 28 November 2022 dan Mesyuarat Ahli Lembaga PDC pada 9 Februari 2023.
Kedua-dua mesyuarat tersebut berkaitan penjualan tanah PDC kepada Umech Land Sdn Bhd yang melibatkan 226 hektar tanah di Byram, Batu Kawan, yang kini telah dibatalkan antara PDC dan Umech Land.
Peguam A. Ruebankumar mewakili Kon Yeow selaku defendan.
Dalam mahkamah yang sama, PDC juga menarik balik saman fitnah terhadap Ramasamy tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa perintah mengenai kos.
Ramasamy turut bersetuju untuk menarik balik kenyataan-kenyataan yang dibuat mengenai PDC sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut.
Ramasamy memulakan prosiding fitnah terhadap Kon Yeow pada 18 Julai tahun lepas berhubung satu kenyataan yang diterbitkan di laman Facebook rasmi Kon Yeow pada 3 Oktober 2023, yang didakwa menuduh Ramasamy terlibat dalam meluluskan urusan jual beli tanah tersebut dan menjejaskan reputasinya.
Perjanjian penjualan tanah di Batu Kawan pada mulanya dibuat melalui tender yang dirunding secara langsung dan menjadi kontroversi kerana dakwaan bahawa tanah tersebut dijual di bawah nilai pasaran.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
