PGA Sabah rampas produk sejuk beku bernilai lebih RM35.45 juta

PAPAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku bernilai lebih RM35.45 juta menerusi Op Taring Chiller yang dilaksanakan secara serentak di 10 daerah seluruh negeri, pada Selasa.
Operasi selama 13 jam itu turut menyaksikan penahanan 29 individu terdiri daripada pemilik premis dan pekerja berusia antara 20 hingga 60 tahun.
Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi tersebut bertujuan membendung aktiviti penyimpanan dan penjualan makanan sejuk beku yang melanggar peraturan, selain mengesan pelbagai kesalahan lain berkaitan.

"Selain itu, operasi ini bertujuan untuk membendung aktiviti penyimpanan dan penjualan makanan sejuk beku yang melanggar peraturan serta mengesan pelbagai kesalahan lain yang berkaitan.
"Hasil daripada operasi, berjaya merampas pelbagai jenis makanan dan peralatan untuk kegunaan sejuk beku iaitu ayam dari pelbagai bahagian, daging lembu dan kambing, makanan laut seperti ikan, udang, sotong dan ketam serta makanan lain seperti kentang, keju, bebola dan aiskrim.
"Kesemua rampasan dibuat di premis penyimpanan makanan sejuk beku di 10 daerah iaitu Kota Kinabalu sebagai daerah tertinggi rampasan, Penampang, Papar, Sandakan, Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Telupid dan Keningau," katanya ketika sidang akhbar di PGA Briged Sabah di Kinarut di sini pada Rabu.
Menurutnya, serbuan turut menyita pelbagai peralatan berkaitan pengendalian produk sejuk beku termasuk peti sejuk dingin, peti sejuk beku, mesin pengisar daging, lori serta kontena sejuk beku.
"Jumlah keseluruhan kesemua rampasan adalah bernilai RM35,452,093.28 dan hasil pemeriksaan awal kita mendapati, kebanyakkan produk makanan sejuk beku ini dipercayai produk tempatan tetapi tiada label, tetapi boleh jadi juga produk ini dari luar negara yang mungkin telah diitukar label atau telah dibungkus semula," jelas beliau.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai kesalahan dikenal pasti termasuk beroperasi tanpa lesen perniagaan, melanggar Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, melanggar Peraturan 37, Peraturan 11 dan Peraturan 35(1)(B) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (Akta Makanan 1983), melanggar Seksyen 102 dan Seksyen 103 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), melanggar Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948 (Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan) dan melanggar Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pertanian Sabah.
"Dalam operasi ini, kita berjaya membendung aktiviti penyimpanan dan penjualan makanan sejuk beku tanpa permit, melanggar syarat dan peraturan dalam mengurus makanan sejuk beku.
"Operasi ini akan diteruskan dari masa ke masa dan kita turut memberi peringatan kepada pengusaha supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
