5 maut dalam nahas helikopter

VLADIVOSTOK - Sebuah helikopter Mi-8 yang dilaporkan hilang di Wilayah Khabarovsk, Rusia telah ditemukan dengan kesemua lima penumpang disahkan terkorban, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa kecemasan pada Rabu.
"Kumpulan penyelamat dari Kementerian Situasi Kecemasan bersama pasukan penyiasat akan memeriksa lokasi nahas, bangkai helikopter dan mencari perakam penerbangan bagi menentukan punca kemalangan,” menurut kementerian itu.
Lima mangsa yang terkorban terdiri daripada tiga kru dan dua pakar teknikal.
Menurut agensi berita TASS, bangkai helikopter itu ditemui di kawasan pergunungan yang berbatu dan dilitupi hutan berhampiran Cape Gadikan, kira-kira 130 kilometer dari penempatan Okhotsk sekali gus menyukarkan akses ke lokasi.
Helikopter Mi-8 yang dikendalikan syarikat penerbangan swasta APK Vzlet LLC itu sedang dalam penerbangan dari Okhotsk ke Magadan pada Isnin. Kru gagal membuat sebarang komunikasi pada waktu yang dijadualkan manakala suar kecemasan tidak diaktifkan, menurut laporan. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
