Pembelaan akan failkan hujahan baharu kes bunuh Zaharif

Hakim turut menetapkan 1 dan 2 Oktober depan bagi mendengar penghujahan penuh daripada kedua-dua pihak kes membabitkan Mohd Nazri yang dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi dua tahun lalu.
Hakim turut menetapkan 1 dan 2 Oktober depan bagi mendengar penghujahan penuh daripada kedua-dua pihak kes membabitkan Mohd Nazri yang dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi dua tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes melibatkan pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak, yang dituduh membunuh seorang remaja lelaki dua tahun lalu, akan memfailkan hujahan bertulis baharu.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, membenarkan permohonan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan bahawa hujahan terdahulu tidak menumpukan kepada Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan seperti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Menurut Afzainizam, walaupun dalam ucapan pembukaan pendakwaan pada 5 November 2024 telah dinyatakan bahawa kes akan dibuktikan mengikut Seksyen 300(c) dan 300(d), namun hujahan bertulis pembelaan hanya memberi fokus kepada Seksyen 300(c).

“Jadi pembelaan perlu failkan hujahan baharu yang menyentuh isu pengetahuan tertuduh terhadap tindakan yang membahayakan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d).

“Ini penting supaya tidak timbul isu undang-undang sekiranya kes ini dibawa ke peringkat rayuan nanti,” katanya kepada pemberita sebaik selepas prosiding mahkamah pada Rabu.

Mahkamah membenarkan penangguhan bagi memberi ruang kepada pihak pembelaan memfailkan hujahan baharu dalam tempoh enam minggu, manakala pihak pendakwaan diberi masa empat minggu selepas itu untuk mengemukakan jawapan balas.

Hakim menetapkan 1 dan 2 Oktober depan untuk mendengar hujahan penuh daripada kedua-dua pihak.

Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan membunuh jika perbuatan dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan dan kecederaan itu lazimnya cukup untuk menyebabkan kematian.

Sementara itu, Seksyen 300(d) merujuk kepada perbuatan yang dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian, walaupun tanpa niat membunuh secara langsung.

Artikel Berkaitan:

Pasukan pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, manakala Mohd Nazri diwakili pasukan pembelaan terdiri daripada peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Terdahulu, Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya perlu menyemak semula keseluruhan hujahan yang telah dikemukakan sebelum ini.

“Hujahan bertulis kami memang merangkumi Seksyen 300(c) dan 300(d), tetapi ia lebih tertumpu kepada 300(c).

“Kini, memandangkan pihak pendakwaan bergantung kepada Seksyen 300(d), maka perlu ada semakan semula hujahan,” katanya.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sebat tidak kurang daripada 12 kali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!