Kes bunuh Nur Farah Kartini: Pembelaan masih meneliti dokumen

Nur Farah Kartini
Nur Farah Kartini
A
A
A

SHAH ALAM – Pihak pembelaan Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah tahun lalu, memaklumkan akan meneliti dokumen sebelum membuat keputusan sama ada mahu mengemukakan representasi atau sebaliknya.

Ketika ditemui selepas prosiding, peguam Aida Zainuddin yang mewakili Muhammad Alif, 27, berkata buat masa ini dokumen diserahkan pihak pendakwaan antaranya laporan patologi, kimia dan forensik.

Disebabkan perkara itu, beliau berkata, pihak pembelaan memerlukan masa meneliti keseluruhan dokumen berkenaan.

“Kami akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada akan memasukkan representasi atau tidak pada prosiding akan datang,” katanya.

Dalam prosiding sebutan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nadia Othman, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman.

Mahkamah menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan kes.

Terdahulu, pada 12 Jun tahun lalu, Muhammad Alif mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian wanita berusia 25 tahun itu di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, dekat sini, antara jam 9 pagi, 10 Julai 2024 hingga 6 petang, 15 Julai tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai 2024 sebelum mayatnya dijumpai lima hari kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!