[VIDEO] Aktiviti menuba jejas sumber ikan di Sungai Berang, penduduk desak tindakan
HULU TERENGGANU – Penduduk Kampung Tanjung Putat di sini menyuarakan kebimbangan berikutan kegiatan menuba ikan yang dikesan di kawasan Sungai Berang berdekatan kampung itu sejak kebelakangan ini.
Aktiviti tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menjejaskan sumber rezeki penduduk, malah memberi kesan kepada ekosistem sungai termasuk hidupan lain seperti udang dan ikan liar.
Penternak ikan air tawar, Baharuddin Mat Ali, 65, berkata, beliau menyedari kegiatan menuba berlaku apabila terdapat ikan peliharaannya mati secara tiba-tiba selain ikan liar yang turut terapung di sekitar kawasan itu.
“Kami tidak tahu siapa yang buat, tetapi kesannya boleh nampak apabila ada beberapa ikan liar mati dan timbul di permukaan air. Ada juga ikan dalam sangkar saya yang terjejas.
“Kalau dibiarkan keadaan ini berlarutan tanpa adanya sebarang pemantauan atau tindakan, ia akan merugikan saya sebagai penternak dan membahayakan penduduk kampung yang mencari ikan atau udang di sungai ini untuk dijadikan sumber rezeki,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Penduduk kampung, Ahmad Sulaiman, 70, pula berkata, kegiatan menuba bukan perkara baharu kerana ia dikesan sejak lima tahun kebelakangan ini dan semakin menjadi-jadi sejak tiga minggu lalu.
“Ada kawan saya beritahu terdapat kegiatan menuba ikan di kawasan ini. Pernah sekali dalam kejadian lepas, saya lihat sendiri ikan terkena racun dan penuh ikan-ikan di sungai ini timbul serta terdapat ikan-ikan yang mati di kawasan tumpuan kegiatan menuba.
“Biasanya kegiatan menuba ikan ini dibuat ketika musim air cetek. Bila berlaku kegiatan seperti ini, ikan pun tidak banyak. Ikan akan berkurangan dan kalau dibiarkan akan pupus terus ikan di sungai ini,” katanya.
Sementara itu, menurut seorang pemancing, Taufiq Embong, 56, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap kegiatan itu.
Katanya, beliau juga pernah terjumpa ikan-ikan yang timbul akibat terkena tuba.
“Bila jumpa ikan-ikan timbul seolah-olah nampak seperti ‘pening’, saya tak jadi nak memancing. Bimbang juga sebab kalau kita termakan ikan ini, kerana ia sudah terkena racun dan sebagainya.
“Jadi kami minta mereka yang melakukan kegiatan menuba ikan di kawasan ini hentikan perbuatan itu dan pihak berkuasa juga perlu ambil tindakan,” katanya.

Pengusaha tapak perkhemahan di kawasan itu, Muhammad Muzauddin Zakaria, 48, pula berkata, kegiatan itu dikhuatiri akan menjejaskan tarikan pelancong ke kawasan tersebut yang dikenali dengan keindahan alam semula jadi dan aktiviti memancing.
“Saya terima banyak aduan malah turut terjumpa ikan-ikan yang berubah sifat seperti timbul ke permukaan air disebabkan terkena racun. Air sungai di sini pun berbau lain, mungkin disebabkan penggunaan bahan kimia yang banyak.
“Penduduk kampung juga bimbang sebab air menjadi sumber minuman mereka yang tinggal di sekitar kawasan ini, malah ia turut disalurkan ke loji-loji air terdekat seperti di Kepong dan Kuala Berang.
“Kalau keadaan ini berterusan, mungkin tempat ini akan berkurangan pengunjung dan pendapatan kami sebagai pengusaha eko-pelancongan turut akan terjejas,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, penduduk mendesak pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam kegiatan tersebut termasuk memperhebat rondaan serta pemantauan di kawasan terjejas.
“Mungkin pihak berkuasa juga boleh umumkan imbuhan kepada mereka yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan ini agar ia dapat dibanteras daripada terus berleluasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
