Akibat terpengaruh dengan makanan hipster

Lambakan makanan dan minuman tidak sihat yang begitu popular sehingga menjadi ‘kegilaan’ golongan muda di negara ini dan ia agak membimbangkan. Gambar hiasan
Lambakan makanan dan minuman tidak sihat yang begitu popular sehingga menjadi ‘kegilaan’ golongan muda di negara ini dan ia agak membimbangkan. Gambar hiasan
A
A
A

LAMBAKAN makanan dan minuman tidak sihat yang begitu popular sehingga menjadi ‘kegilaan’ golongan muda di negara ini dan ia agak membimbangkan.

Situasi itu bukan sahaja menggalakkan tabiat pemakanan tidak sihat malah menyumbang kepada peningkatan pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat negara ini termasuk obesiti.

Makanan dan minuman ‘hipster’ yang memikat selera ini bermacam-macam jenis daripada minuman manis bersusu pekat, makanan berlemak, hidangan berkeju meleleh sehinggalah pencuci mulut dengan kandungan gula dan pewarna tinggi.

Lebih merisaukan, makanan sebegini bukan sahaja digemari golongan dewasa malah menjadi pilihan remaja dan kanak-kanak. Ibu bapa pula sukar menolak permintaan anak-anak demi memenuhi kehendak trend selera semasa.

Walaupun harga makanan itu boleh mencecah RM15 hingga RM30 satu hidangan, ramai sanggup berbelanja demi mencubanya lebih-lebih lagi yang tular di media sosial dan dipromosikan pula selebriti atau pempengaruh terkenal.

Situasi ini sebenarnya dilalui penulis sendiri apabila anak-anak cukup gemar makanan hipster ini selain makanan-makanan berasal dari luar negara khususnya dari Korea.

Walaupun kita tahu makanan itu tidak baik untuk kesihatan tetapi sukar untuk elakkan sebab ia mudah ditemui dan dijual di mana-mana sama ada di gerai tepi jalan, kafe, pasar malam, festival makanan dan secara dalam talian.

Perkembangan ini mungkin sihat dari sudut ekonomi dan perniagaan terutama kepada usahawan muda namun pada masa sama, ia memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan pengguna yang akhirnya membebankan sistem kesihatan awam negara.

Perkara ini tidak boleh dipandang ringan sebaliknya perlu kepada tindakan holistik pelbagai pihak mengambil kira Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan hampir 2.3 juta orang dewasa di negara ini menghidap tiga jenis NCD lazim.

Artikel Berkaitan:

Mengikut statistik yang ditunjukkan, sebanyak 5.1 peratus orang dewasa menghidap gabungan kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi, sementara 2.9 peratus menghidap tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.

Sebanyak 1.2 peratus pula menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti manakala 0.4 peratus pula menghidap kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti.

Negara ini turut mencatatkan kadar obesiti tertinggi, sekali gus menimbulkan cabaran kesihatan awam yang mendesak.

NHMS 2023 memperlihatkan 21.3 peratus penduduk dewasa di negara ini mengalami obesiti meningkat daripada 19.7 peratus yang direkodkan pada 2019.

Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pula, sebanyak 30.7 peratus golongan itu mengalami masalah berat badan berlebihan. Amalan pemakanan tidak sihat dikenal pasti antara faktor menyumbang kepada peningkatan masalah obesiti di negara ini.

Dalam isu ini kita tidak boleh menyalahkan peniaga semata-mata kerana dari sudut peniaga, jualan makanan sebegini menguntungkan.

Makanan kurang sihat yang menyelerakan dan dipersembahkan pula mengikut kreativiti tersendiri menarik selera ramai, sekali gus menjanjikan pulangan keuntungan besar untuk mereka.

Dalam isu ini, kebijaksanaan dan kesedaran pengguna diperlukan dalam memilih makanan yang diambil.

Pengguna perlu memiliki kesedaran tinggi terhadap kesihatan sendiri sebagai benteng berdepan pengaruh makanan-makanan lazat tapi membawa azab jika diambil secara berlebihan.

Jangan mudah terpengaruh dengan trend makanan semata-mata untuk kepuasan sementara, sebaliknya mengutamakan pemakanan seimbang demi kesihatan jangka panjang.

Pihak berkuasa pula disaran memperketatkan garis panduan terhadap penjualan makanan di festival dan platform dalam talian, termasuk mewajibkan label nutrisi serta pemantauan ke atas kandungan bahan makanan.

Jika perlu, wajibkan label khas bagi makanan dan minuman tertentu yang kadar gula, lemak, garam dan pewarna terlalu tinggi sebagai 'amaran' kepada pengguna.

Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan juga disaran memperhebat kempen kesedaran mengenai bahaya makanan tidak sihat dan menggalakkan pengusaha makanan menyediakan pilihan yang lebih sihat dan seimbang.

* Nik Amirul Mu’min Nik Min ialah Ketua Biro Sinar Harian Pahang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!