SPRM tahan penjawat awam, pesara disyaki terima suapan RM70,000

KANGAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan kelulusan permit ubah suai rumah bernilai kira-kira RM70,000.
Kedua-duanya individu terdiri daripada seorang penjawat awam dan pesara dari sebuah jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana disyaki terlibat dalam meminta dan menerima rasuah sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit ubah suai rumah.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 21 Julai 2025 terhadap kedua-dua suspek dibenarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kangar pada Selasa.
Menurut sumber, kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an hingga 60-an ditahan kira-kira jam 1.30 petang Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dari 2022 hingga 2024.
“Kedua-duanya dipercayai menerima wang rasuah antara RM300 hingga RM9,000 bagi setiap permohonan sepanjang 2022 hingga 2024 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM70,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi suspek lelaki yang kemudiannya dikongsi bersama suspek wanita,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

