‘Kita sudah buat yang terbaik, terpulang kepada rakyat’ – Hajiji

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melakukan yang terbaik sepanjang hampir lima tahun mentadbir Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, pelbagai inisiatif dan pembaharuan telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat, merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, pembangunan infrastruktur serta penyelesaian isu-isu berlarutan seperti bekalan air.
“Kita sudah buat yang terbaik untuk rakyat, walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Ada masalah seperti isu air yang kita warisi sejak dahulu, namun kerajaan hari ini telah dan sedang melaksanakan projek-projek menaik taraf loji untuk meningkatkan bekalan air di Sabah.
“Begitu juga aspek jalan raya dan lain-lain. Banyak inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan hari ini yang tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan peruntukan besar untuk pelajar, membantu golongan miskin, dan menyediakan bantuan kebajikan termasuk perumahan.
“Semuanya kita bantu. Sekarang, terpulang kepada rakyat untuk memberi sekali lagi peluang kepada kerajaan GRS yang ada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada Selasa.
Sebelum itu, ketika diminta mengulas mengenai keseluruhan perjalanan persidangan DUN kali ini, Hajiji berkata, kerajaan telah memanfaatkan sesi tersebut untuk membentangkan pencapaian serta pelbagai usaha yang telah digerakkan sepanjang satu penggal pentadbiran.
“Cukup baik. Kerajaan dapat membentangkan dan memaklumkan pelbagai inisiatif yang telah kita jayakan sepanjang hampir lima tahun ini, dan sekarang kita hanya tunggu bila pilihan raya akan diadakan.
“Persidangan DUN telah selesai, semua Rang Undang-Undang (RUU) telah diluluskan, termasuk RUU berkaitan karbon, hutan dan tanah.
“Selain itu, turut diluluskan ialah anggaran perbelanjaan tambahan yang diperlukan oleh kerajaan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan sehingga akhir tahun,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
