Hina fizikal orang lain boleh dipenjara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

“DAHLAH gemuk, kuat makan, tak reti buat kerja,” herdik Maimunah kepada pekerjanya.

“Kau ni bila malam nampak baju, mata dengan gigi saja. Gelap betul,” gurau Samad bersama rakannya.

Sekali baca, pasti ramai pernah terdengar bahkan mungkin ada yang pernah mengungkapkan kata-kata sedemikian.

‘Orang lama’ menganggap itu sebagai gurauan. Ada pula rakan lain ikut sama ‘membahan’, maka berdekah-dekahlah mereka mengetawakan rakannya.

Kalau dulu, kebanyakan orang berbadan besar lazimnya digelar ‘Bob’. Kalau ada yang berkulit gelap sedikit, namanya pasti diselitkan perkataan ‘Hitam’ di belakangnya. Nama itu melekat sampailah besar.

Mungkin ada terasa hati tapi tidak pula sampai bergaduh.

Namun, zaman kian berubah apatah lagi perbuatan mempersendakan rupa fizikal telah menjalar ke media sosial.

Kata-kata yang dianggap kelakar sebelum ini kini mempunyai nama baru, body shaming tapi satu perkara masih tidak berubah - body shaming masih dianggap kelakar.

Artikel Berkaitan:

Dek kerana teknologi menguasai zaman, perbuatan memalukan fizikal seseorang kini bukan hanya boleh dilakukan secara verbal malah di alam maya juga.

Bahkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini telah mengklasifikasikannya sebagai jenayah.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zuraini Ab Hamid berkata, mereka yang melakukan body shaming boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menurutnya, sekiranya disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali dan sekiranya mahu membuat laporan, mangsa boleh ke balai polis atau laporkan kepada SKMM.

“Bagi aduan kepada SKMM, mangsa boleh membuat aduan secara atas talian. Sekiranya aduan hendak dibuat di balai polis, mangsa digalakkan hadir sendiri ke balai polis berdekatan.

“Kesedaran berhubung perkara ini masih terlalu rendah kerana masih ramai yang tidak tahu ia adalah satu jenayah sekiranya menghina orang lain menggunakan perkhidmatan aplikasi (secara dalam talian).

“Peruntukan di bawah Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sepatutnya mampu menakutkan sekali gus mendidik mereka yang melakukannya,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang, pelaku juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya kerana perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.

Menurut Kamal Affandi, adalah penting bagi mangsa mengetahui hak mereka dengan membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa.

“Mangsa body shaming yang berasa diri dimalukan boleh membuat laporan dan siasatan akan dijalankan. Sekiranya didapati benar-benar berlaku maka tindakan boleh diambil terhadap si pelaku,” katanya.