Akan amankah Afghanistan?

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PERJANJIAN AS-Taliban yang ditandatangani pada 29 Februari 2020 membawa pelbagai reaksi antaranya optismisme dan pesimis.

Persoalan utama, mampukah ia menjamin keamanan Afghanistan yang mengalami konflik lebih empat dekad?

Perjanjian AS-Taliban mempunyai tiga matlamat utama: pertama, pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan; kedua, Taliban bersetuju tidak akan memberi pelindungan kepada kumpulan al-Qaeda atau kumpulan yang mampu mengganggu gugat kepentingan dan kepentingan AS.

Sememangnya tujuan pencerobohan dan pendudukan AS ke Afghanistan pada tahun 2001 untuk menghindar negara itu menjadi kawasan perlindungan kumpulan al-Qaeda.

Ketiga, pihak Taliban akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Afghanistan untuk mencapai penyelesaian dan gencatan senjata.

Bagi AS, mereka lebih mementingkan objektif pertama dan kedua kerana sedar konflik di Afghanistan menjadi duri dalam daging. Selagi tentera AS tidak berundur dari Afghanistan, lebih ramai warga AS terutama anggota keselamatannya akan terkorban.

Selain itu, kos menampung intervensi tentera AS di Afghanistan meningkat.

Presiden AS, Donald Trump sedar bahawa rakyatnya tidak mahu negara itu terus terlibat dengan konflik di Afghanistan dan inginkan tentera ditarik balik.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Trump mahu menjadi Presiden AS bagi penggal kedua.

Oleh itu, pengunduran tentera AS itu adalah percaturan politik Trump bagi meningkatkan popularitinya.

Dari segi objektif kedua, Taliban bersetuju untuk tidak memberi perlindungan serta bekerjasama dengan al-Qeada serta kumpulan bertentangan dengan kepentingan AS.

Bagaimanapun, tiada jaminan Taliban terus menghormati syarat tersebut.

Objektif ketiga iaitu mengadakan dialog serta rundingan di antara Taliban dengan kerajaan Afghanistan untuk mencapai penyelesaian berkekalan merupakan yang paling mencabar dan sukar.

Kerajaan Afghanistan yang dipimpin Presiden Ashraf Ghani sangsi dengan keikhlasan Taliban yang mahukan kedamaian.

Ashraf Ghani
Ashraf Ghani

Beliau menyamakan perjanjian AS-Taliban sebagai strategi ‘kuda trojan’ Taliban melemahkan kerajaan Afghanistan dari dalam.

Malah, kedudukan politik Ashraf Ghani tidak stabil kerana dicabar Dr Abdullah bekas Menteri Luar Afghanistan ketika Pilihan Raya Presiden Afghanistan 2019.

Perjanjian AS-Taliban hanya sebahagian daripada proses damai Afghanistan kerana isu yang lebih serius adalah cara untuk membantu rakyatnya yang hidup sengsara.

Cabaran seterusnya adalah pemulihan ekonomi serta pembinaan infrastruktur yang binasa akibat konflik 40 tahun.Objektif ketiga, rundingan Taliban dengan kerajaan Afghanistan serta kumpulan politik.

Bagaimanapun proses itu bukan semudah seperti dijangka kerana politik negara itu amat kompleks berasaskan puak, wilayah, daerah, fahaman mazhab serta personaliti.

Panglima perang

Setiap wilayah di Afghanistan mempunyai beberapa orang panglima perang atau warlords yang mewakili puak.

Mereka ialah pemerintah sebenar di Afghanistan.

Warlords ada pasukan tentera sendiri yang taat dan bukan kepada kerajaan Pusat.

Oleh demikian, amat sukar bagi kumpulan politik sama ada dipimpin Ashraf Ghani atau Dr Abdullah mahupun pihak Taliban untuk mencapai persetujuan dengan warlords.

Kerajaan Afghanistan akan menjadi lebih goyang setelah tentera AS berundur.

Dipercayai ramai di antara warlords terlibat dalam aktiviti niaga narkotik sebagai sumber pendapatan.

Afghanistan juga berhadapan cabaran korupsi yang berleluasa disebabkan isu kemiskinan penduduk.

Cabaran korupsi mengakibatkan sumbangan antarabangsa yang disalurkan pertubuhan antarabangsa serta organisasi bukan kerajaan tidak sampai kepada orang awam sebaliknya dilesapkan oleh sesetengah anggota kerajaan Afghanistan yang menjualnya semula di pasaran gelap.

Isu itu menyebabkan penduduk Afghanistan hilang keyakinan terhadap kerajaan.

Masalah korupsi turut menyebabkan penyumbang antarabangsa hilang kepercayaan terhadap pemerintah Afghanistan.

Perjanjian AS-Taliban tidak membawa apa-apa makna bagi Afghanistan tanpa pembaharuan politik khasnya institusi pentadbiran awam serta ketenteraan yang benar-benar menjamin kesejahteraan serta keyakinan rakyat.

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Jabatan Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya