Dari bengkel kecil ke sentuhan kereta mewah

BERBEKALKAN pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang jahitan kusyen dan ubah suai dalaman kereta, ‘Acik Kusyen’ kini semakin dikenali dan memiliki pengikut tersendiri yang mempercayai hasil sentuhan bengkel berkenaan.
Pemiliknya, Abu Zarin Abu Hassan, 44, berkata, bengkelnya sebelum ini beroperasi di Jalan Cempaka, Taman Senawang Jaya kini berpindah lokasi ke Kawasan Perindustrian Tasik Jaya sejak awal Januari lalu.
Bapa kepada dua anak ini berkata, lokasi baharu itu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, selain memerlukan ruang kerja yang lebih luas dan selesa.
Katanya, sebelum memulakan perniagaan, dia menimba pengalaman bekerja di bengkel kusyen perabot milik abangnya sebelum menyambung pengajian bidang automotif peringkat sijil di Politeknik Port Dickson dan Diploma di Politeknik Kota Bharu dalam bidang sama.

"Saya mula buka bengkel selepas tamat belajar dengan menawarkan perkhidmatan membaiki kusyen koyak dan menukar kusyen baharu pada kenderaan.
"Saya juga menyediakan perkhidmatan cucian serta hiasan dalaman kereta," katanya kepada Sinar Harian.
Anak jati Jelebu itu memberitahu, kini menerima tempahan sekurang-kurangnya sepuluh kereta sebulan dengan pendapatan antara RM20,000 sehingga RM30,000.
Harga ikut jenis perkhidmatan, material
Ujarnya, harga ditetapkan mengikut jenis perkhidmatan dan jenis material digunakan dan dia pernah terima tempahan mencecah hingga RM9,000 bagi hiasan dalaman sebuah kereta antik.
"Kereta paling mahal pernah datang ke bengkel ialah Porsche manakala tempahan paling mahal kereta antik yang datang dalam keadaan kosong. Kami buat hiasan dalaman daripada awal hingga akhir.
"Perkhidmatan kami semakin diterima ramai, rata-rata pelanggan berpuas hati. Ada yang datang dari Johor untuk gunakan perkhidmatan kami yang bengkel kami diketahui melalui media sosial juga daripada mulut ke mulut melalui pelanggan sedia ada yang pernah menggunakan perkhidmatan kami," ujarnya.
Tambahnya kebiasaan urusan tempahan mengambil masa sehingga seminggu sementara proses pemasangan boleh disiapkan dalam tempoh sehari.
"Pelanggan yang datang boleh memilih sendiri jenis material, warna dan reka bentuk dalaman kereta diikuti ukuran sebelum kami menyiapkan tempahan itu.
"Kebiasaannya proses jahitan mengambil masa lima ke tujuh hari, diikuti pelanggan akan menghantar kereta berkenaan untuk proses pemasangan yang hanya mengambil masa antara lima hingga enam jam untuk disiapkan," katanya.

Katanya lagi, kusyen menggunakan material PVC harga sekitar RM900, PU leather anggaran RM1,200 manakala leather boleh mencecah RM2,000 ke RM3,000
Sementara tempahan 'full interior' pula mencecah RM7,000 hingga RM9,000 bergantung jenis kereta dan pakej yang diambil.
Abu Zarin berkata, meskipun berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri namun dia sentiasa menimba ilmu perniagaan di bawah usahawan bimbingan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)
"Selain diberikan bantuan berupa peralatan bernilai RM10,000, saya turut ikuti kursus bimbingan pengurusan perniagaan dan kewangan daripada RISDA," katanya.
Dalam menceburi bidang berkenaan dia akui tidak lari ditimpa pasang surut perniagaan apabila semasa penularan Covid-19 lalu pendapatan terjejas kerana tidak boleh beroperasi.
Bagi meneruskan kehidupan, beliau memberitahu terpaksa membuat pinjaman bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bagi memastikan perniagaannya tidak 'bungkus'.
Mengenai perancangan jangka masa panjang, menjadi cita-citanya untuk mencuba nasib beroperasi di Lembah Klang yang mempunyai pasaran lebih luas.
Ujarnya, hasrat itu sudah lama dipendam cuma belum lagi dapat direalisasikan susulan faktor kewangan dan juga kekurangan tenaga kerja.
“Saya memang ada niat nak buka cawangan di sana tapi tenaga kerja belum cukup dan nak jaga kualiti, jadi buat masa ini saya fokus dulu pada apa yang ada. Tapi insha-ALLAH, satu hari nanti kami akan sampai juga ke sana.” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

