'Lebih 60 tahun saya tinggal sini, ini banjir paling teruk' - Mangsa

Keadaan dapur salah sebuah rumah mangsa banjir di Kampung Maju Jaya. Gambar kecil: Norazianah, Mastam
Keadaan dapur salah sebuah rumah mangsa banjir di Kampung Maju Jaya. Gambar kecil: Norazianah, Mastam
A
A
A

JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Maju Jaya di sini mula menjalankan kerja-kerja pembersihan kediaman masing-masing sejak awal pagi, Jumaat, selepas banjir surut sepenuhnya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penduduk mengakui bahawa banjir tahun ini adalah yang paling teruk pernah mereka alami.

Penduduk, Mastam Gareng, 71, berkata, rumahnya sudah biasa dinaiki air akibat limpahan sungai setiap kali hujan lebat tetapi sebelum ini tidak menyebabkan kerosakan dan kerugian besar.

"Saya tinggal di sini sejak 1959, memang biasa banjir sebab rumah dekat sungai, tapi tahun ini paling teruk. Semua barang habis tenggelam, persiapan raya seperti pakaian dan bahan mentah untuk kerepek pun rosak.

Mangsa banjir terpaksa membersihkan ruangan dalam rumah yang dinaiki air selepas banjir surut.
Mangsa banjir terpaksa membersihkan ruangan dalam rumah yang dinaiki air selepas banjir surut.

"Hanya ALLAH yang tahu betapa sedihnya hati ini. Duit dah habis untuk beli persiapan raya, tapi semuanya musnah. Nak kemas pun mungkin ambil masa lebih dua minggu," katanya kepada Sinar Harian, Jumaat.

Seorang lagi penduduk, Norazianah Rubaee, 40, berkata, kejadian berlaku dengan pantas sehingga dia hanya sempat menyelamatkan sebahagian kecil barang.

Menurutnya, semua bahan membuat kuih raya, termasuk perabot dan barang elektronik, ditenggelami air sepenuhnya.

"Setiap tahun saya memang jual kuih raya sepanjang Ramadan dan menerima tempahan juadah hari raya.

"Tapi kali ini, tiada apa yang boleh diselamatkan. Kebanyakan peralatan dan bahan sudah rosak. Saya mengalami kerugian lebih RM6,000, termasuk deposit pelanggan yang telah membuat bayaran 50 peratus," ujarnya.

Penduduk menyifatkan banjir kali ini sebagai antara yang terburuk selepas bencana besar 19 tahun lalu.

Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa di Johor Bahru serta beberapa daerah lain di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!