Pertemuan PMX dengan MP PH, BN penentu hala tuju Madani

Kenderaan dipercayai milik Anwar keluar meninggalkan Seri Perdana pada jam 9.40 malam.
Kenderaan dipercayai milik Anwar keluar meninggalkan Seri Perdana pada jam 9.40 malam.
A
A
A

PERTEMUAN antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah berlangsung pada malam Jumaat dan seterusnya pertemuan bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dijadualkan pula pada hari ini.

Menariknya, Anwar sendiri menjelaskan bahawa antara inti perbincangan utama pertemuan bersama wakil rakyat BN itu adalah berkait cukai, subsidi petrol RON95 dan juga isu berkaitan badan kehakiman.

Tiga isu besar itu bukan sahaja kritikal kepada kelangsungan fiskal negara, tetapi juga menyentuh langsung sentimen rakyat.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan seterusnya bersama Ahli Parlimen PH pada Isnin jam 4 petang dipercayai dengan agenda sama bagi memberi penerangan dan penjelasan secara langsung kepada mereka.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengesahkan semua Ahli Parlimen PH dijemput menghadiri sesi itu yang dijangka turut memberi penjelasan berhubung isu pelantikan kehakiman yang mencetuskan polemik mutakhir itu.

Pertemuan itu berlaku serentak dengan pelbagai perkembangan lain termasuk Majlis Peguam Negara dijadual mengadakan himpunan di hadapan Istana Kehakiman sekitar jam 2 petang sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyerahkan memorandum.

Forum awam mengenai integriti kehakiman yang dianjurkan oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Rafizi Ramli pada malam Ahad turut menambahkan lapisan dramatik terhadap kemelut itu.

Gabungan semua peristiwa terbabit memberi bayangan sesuatu yang besar sedang digerakkan.

Sekiranya benar isu-isu kritikal seperti pelantikan kehakiman dan subsidi petrol RON95 menjadi agenda utama, pertemuan Anwar dengan Ahli Parlimen kedua-dua blok berkemungkinan besar adalah untuk menyatukan naratif, merapatkan jurang perbezaan serta mengukuhkan barisan hadapan Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu dilihat penting memandangkan tekanan dari masyarakat sivil, ahli akademik dan juga kumpulan profesional yang dilihat semakin vokal mengkritik campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman.

Sebarang isu melibatkan rakyat seperti penstrukturan semula subsidi memerlukan komunikasi yang jelas dan berperingkat supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau kebimbangan berlebihan dalam kalangan masyarakat.

Begitu juga isu berkaitan badan kehakiman, ia perlu ditangani secara telus, tetapi tertib tanpa mengganggu prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas dalam sistem demokrasi negara.

Dalam konteks tersebut, ketelusan Anwar menjelaskan isu-isu besar kepada rakan gabungan boleh mengukuhkan keyakinan terhadap kerajaan.

Jika hasil pertemuan itu diteruskan dengan langkah susulan seperti penerangan kepada rakyat secara telus dan berperingkat, kerajaan dijangka dapat mengurus persepsi dengan lebih berkesan.

Keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan akan terus meningkat terutama menjelang pembentangan Belanjawan 2025 dan pilihan raya negeri Sabah yang kian hampir.

Bagaimanapun, jika pertemuan hanya berakhir dengan pengulangan retorik tanpa ketelusan tindakan, ia hanya akan mengukuhkan persepsi negatif terhadap kerajaan bahawa segala yang berlaku hanya strategi memadamkan api sementara menunggu gelombang seterusnya.

Justeru, hasil daripada dua pertemuan tersebut bakal menjadi indikator jelas kepada hala tuju sebenar kerajaan pimpinan Anwar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!