RM8.79 bilion diperuntuk projek pembangunan RP5 RMK12 di Sabah

KOTA KINABALU - Sabah antara negeri yang menerima peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan, termasuk melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), apabila sejumlah RM8.799 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Petra Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan Madani sentiasa memastikan Sabah terus makmur bersama dalam keluarga besar Malaysia.
"Negeri ini berjaya menarik kehadiran seramai 3.147 juta pelancong pada tahun 2024, berbanding 2.613 juta orang pada tahun 2023.
"Namun, kemajuan Sabah bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya amanah bersama seluruh negara. Menerusi hubungan kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, kita dapat membina sebuah negeri dan negara yang lebih makmur, adil dan lestari.
"Dalam konteks kementerian Petra, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM8.799 bilion sehingga Jun 2025, bagi pelaksanaan 86 projek pembangunan (DE) di bawah RP5 RMKe-12 di Sabah dan Sabah adalah negeri yang banyak menerima peruntukan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus bersama media di sini, pada malam Ahad.
Bercakap mengenai program tersebut, beliau turut menyentuh peranan media dalam menyampaikan laporan, data dan maklumat yang tepat, yang secara langsung memberi impak positif terhadap sektor pelaburan dan pelancongan negara.
"Ini turut menyumbang kepada keyakinan pelabur dan pelancong terhadap tahap keselamatan dan kestabilan negara.
"Kerajaan telah membuka ruang yang luas kepada kebebasan media. Namun, pengamal media perlu memastikan profesionalisme dan etika kewartawanan sentiasa dipelihara," katanya.
Fadillah berkata, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 turut menunjukkan perkembangan positif apabila melonjak ke tangga ke-88, berbanding kedudukan ke-107 pada tahun sebelumnya, menurut laporan Reporters Without Borders (RSF).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
