Tiga cedera nahas dua motosikal, seorang tercampak dalam saliran air laut

Anggota bomba menjalankan gerakan menyelamatkan mangsa. Foto BBP Larkin
Anggota bomba menjalankan gerakan menyelamatkan mangsa. Foto BBP Larkin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga individu cedera termasuk seorang yang tercampak ke dalam saliran air laut apabila dua buah motosikal terbabit dalam kemalangan berhampiran Jalan Bazar Karat, berhadapan Pejabat Pos Johor Bahru, malam Sabtu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba I Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 10.49 malam.

Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), tiga kenderaan Rondaan Ikhtisas Mobil (RIM), satu pacuan empat roda dengan 16 anggota dan dibantu satu Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) dari BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba ke lokasi pada jam 10.55 malam, didapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha. Sebuah motosikal lagi tidak dapat dikenal pasti kerana terjatuh dalam saliran air laut bersama salah seorang mangsa.

"Tiga mangsa cedera dan kesemuanya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum pihak bomba tiba," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Operasi menyelamat turut melibatkan Pasukan Penyelam Di Air. Foto BBP Larkin
Operasi menyelamat turut melibatkan Pasukan Penyelam Di Air. Foto BBP Larkin

Difahamkan, sebelum itu pihak bomba melakukan pencarian di lokasi sejauh 30 meter dan sedalam kira-kira 3.6 meter ke dasar sebanyak tiga kali untuk mencari mangsa.

Pihak bomba juga berjaya membawa naik motosikal jenis Yamaha ke atas dan operasi ditamatkan pada jam 1.14 pagi hasil kerjasama dengan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan kejadian tersebut.

"Setakat ini tiga mangsa terbabit kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!