Tuanku Muhriz pesan jangan ulang kesilapan dulu

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
A
A
A

KUALA PILAH - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan kerajaan supaya jangan lagi membiarkan hasil negara digunakan untuk kepentingan peribadi individu tertentu.

Baginda bertitah, semua perlu bersyukur kerana diberi peluang untuk memperbaiki dan memperbetulkan semua kelemahan pentadbiran negara.

“Jadikan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran, kerana jika tidak, ia pasti berulang.

“Jangan lagi membiarkan institusi pentadbiran negara terhalang daripada menjalankan tanggungjawab tidak sepatutnya dan jangan lagi kita hilang upaya dalam mengawal segala manipulasi yang berlaku,” titahnya.

Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-71 baginda di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Turut berangkat hadir kedua-dua anakanda baginda iaitu Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin.

Tuanku Muhriz juga menyeru kepada semua sama ada pemimpin atau rakyat supaya tidak melepaskan peluang yang ada untuk merencana masa depan negara menjadi lebih baik.

Selain itu baginda bertitah bahawa tahap hubungan sosial antara kaum di negara ini sangat rendah jika dibandingkan pada 30 atau 40 tahun dulu.

Artikel Berkaitan:

“Ia dapat dilihat dengan jelas terutama dalam kelab sosial atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu apabila hanya sesuatu kaum mendominasi keahlian dan jawatankuasa sesebuah persatuan.

“Dalam sesebuah negara majmuk seperti Malaysia, hubungan sosial antara kaum amat penting kerana akan bangkitkan semangat memahami dan menghormati amalan agama serta budaya masing-masing,” titahnya.

Tuanku Muhriz bertitah, kesefahaman dan sifat saling menghormati antara satu sama lain akan lebih menjamin ketenteraman dan masyarakat yang bersatu padu.

“Semangat setia kawan antara kaum hendaklah dipupuk dari awal melalui aktiviti sukan fizikal dan permainan yang berasaskan intelek,” titahnya.

Sempena hari keputeraan baginda, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mendahului senarai 340 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat dengan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pada istiadat hari ini, turut menerima darjah kebesaran sama adalah Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Hamid Bador.

Selain itu, tiga orang pula menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan, Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (16), Darjah Setia Negeri Sembilan (sembilan), Darjah Tuanku Muhriz (5).

Seramai 10 orang menerima Darjah Pekerti Terpilih, Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (42), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (86), Pingat Jasa Kebaktian (140), Pingat Khidmat Lama (15) dan Bentara Tuanku Muhriz (12).