Tiga ladang babi di Kampung Selamat disahkan positif ASF

Tiga ladang babi di Tasek Gelugor disahkan dijangkiti demam babi Afrika. Gambar hiasan, gambar kecil: Dr Saira Banu
Tiga ladang babi di Tasek Gelugor disahkan dijangkiti demam babi Afrika. Gambar hiasan, gambar kecil: Dr Saira Banu
A
A
A

GEORGE TOWN – Tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan positif penyakit demam babi Afrika (ASF) berdasarkan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, dua daripada ladang berkenaan dilaporkan mencatat kadar kematian ternakan yang tinggi, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap potensi penularan penyakit tersebut ke ladang-ladang lain yang berhampiran.

Menurutnya, pihak jabatan telah mengambil tindakan kawalan dan pemantauan rapi bagi membendung penularan jangkitan ASF secara segera dan berkesan.

“Di kawasan Kampung Selamat terdapat sebanyak 63 ladang yang menempatkan kira-kira 120,000 ekor babi.

“Antara langkah kawalan yang telah diambil termasuk mengeluarkan Notis Sekatan dan Larangan Pemindahan Binatang di bawah Seksyen 18, Akta Binatang 1953 (Akta 647) terhadap ladang yang dijangkiti, serta melaksanakan sekatan pemindahan babi ke rumah sembelih yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Saira Banu berkata, pihak jabatan turut menjalankan pensampelan ke atas ternakan yang menunjukkan tanda-tanda klinikal di ladang sekitar, selain meningkatkan pemantauan terhadap aspek biosekuriti.

Dalam masa sama, katanya, semua penternak dinasihatkan agar segera melaporkan sebarang kematian luar biasa membabitkan ternakan mereka.

“Terdapat dua ladang yang mencatat kematian sekitar 50 ekor, dan banyak ternakan menunjukkan simptom ASF,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyakit ASF tidak berjangkit kepada manusia, namun memberi kesan besar kepada industri penternakan babi, khususnya dari aspek sekatan pergerakan haiwan dan kerugian ekonomi kepada penternak.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha ladang babi di negeri ini supaya meningkatkan langkah-langkah biosekuriti di ladang masing-masing dan mengelakkan kemasukan orang luar atau kenderaan yang tidak disanitasi bagi mengelakkan risiko penyebaran penyakit ke kawasan lain.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!