Penduduk terima manfaat menerusi Projek Kampung Angkat Madani KPDN - Armizan

Armizan menandatangani plak penyerahan Kampung Angkat Madani KPDN di Kampung Kaiduan, Papar.
Armizan menandatangani plak penyerahan Kampung Angkat Madani KPDN di Kampung Kaiduan, Papar.
A
A
A

PAPAR - Lebih 1,000 penduduk di Mukim Kaiduan di sini menerima manfaat pembangunan menerusi pelaksanaan 16 projek di bawah program Kampung Angkat Madani anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Kesemua projek tersebut merangkumi pembinaan jambatan aras rendah (low level crossing atau LLC), baik pulih saluran pembentung, naik taraf jalan kampung, pembinaan jambatan gantung baharu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kaiduan, naik taraf rumah ibadat serta pemasangan lampu solar di kawasan kampung.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua projek berkenaan telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada penduduk Mukim Kaiduan.

Armizan ketika ditemui pemberita di Kampung Kaiduan, Papar.
Armizan ketika ditemui pemberita di Kampung Kaiduan, Papar.

“Program Kampung Angkat Madani ini merupakan satu inisiatif baharu kerajaan Persekutuan yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dimulakan pada tahun 2024 dengan tujuan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar secara bersasar.

“Projek ini dimulakan tahun lalu melalui pemilihan 43 kampung dengan peruntukan sebanyak RM107 juta. Mekanisme pelaksanaannya bermula apabila setiap ahli Jemaah Menteri dikehendaki memilih satu kampung untuk disenaraikan dalam program Kampung Angkat Madani.

“Sebagai menteri di KPDN, saya telah berbincang dengan pihak pengurusan untuk memilih kawasan yang melibatkan beberapa kampung. Kriterianya adalah kampung yang taraf infrastrukturnya masih di bawah paras 50 peratus,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Kaiduan di sini pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan berhubung pemilihan Mukim Kaiduan turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang menyokong pelaksanaannya di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

“Di sini terdapat Kampung Kaiduan sendiri, Kampung Besuang dan Kampung Bolotikon yang mempunyai lebih 1,000 penduduk.

“Menerusi program ini dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta, sebanyak 16 projek telah dimulakan sejak Mei tahun lalu dan kini telah siap sepenuhnya.

“Antara projek yang paling dinanti-nantikan oleh penduduk mukim ini ialah jambatan aras rendah kerana sebelum ini jika berlaku banjir atau air pasang, laluan tersebut tidak dapat dilalui.

“Akibatnya, ada penduduk tidak dapat menyeberang sungai untuk menjual hasil pertanian di tamu (pasar hari), tidak dapat pergi bekerja ke Kota Kinabalu atau Papar, dan begitu juga menghadapi kesukaran menguruskan jenazah jika berlaku kematian,” katanya.

Armizan melawat jambatan di Kampung Kaiduan, Papar yang telah siap sepenuhnya.
Armizan melawat jambatan di Kampung Kaiduan, Papar yang telah siap sepenuhnya.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar meluahkan kesyukuran kerana kesemua projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan siap mengikut jadual.

“Untuk tahun ini, program Kampung Angkat Madani akan diteruskan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM200 juta di kampung-kampung lain yang akan dipilih. Program ini juga telah diperluaskan kepada badan berkanun termasuk universiti yang akan mempunyai kampung angkat mereka sendiri.

“Bagi Kampung Kaiduan, program ini akan diteruskan juga tahun ini. Ini kerana pelaksanaannya bukanlah terhenti sebaik sahaja projek siap, sebaliknya kita akan teruskan dengan fokus kepada aspek lain termasuk pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!