Penyelia gudang rugi RM500,000 terpedaya pelaburan palsu

GEORGE TOWN – Seorang penyelia gudang mengalami kerugian sebanyak RM500,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.
Mangsa yang sebelum ini bekerja di Singapura dikatakan melihat iklan pelaburan tersebut di Facebook pada 21 Mac lalu sebelum berhubung dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Liane.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek memperkenalkan satu aplikasi pelaburan dikenali sebagai ‘Silver Peak CP’ yang kononnya menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa berusia 53 tahun telah melakukan 22 transaksi ke enam akaun bank berbeza sehingga 24 Jun lalu.
“Namun selepas bayaran dibuat, mangsa gagal menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menyedari dirinya ditipu, Mohd Alwi berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Bakap.
Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Dalam pada itu, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap iklan pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan luar biasa, serta membuat semakan lanjut dengan pihak berkuasa atau institusi kewangan sebelum membuat sebarang komitmen kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

