Pangku tugas Menteri NRES, Johari fokus selesaikan isu kritikal

KUANTAN – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan bahawa pelantikannya sebagai pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dibuat bagi menjawab isu-isu kritikal yang melibatkan kementerian tersebut.
Menurut beliau, tanggungjawab itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas portfolio berkenaan dikosongkan sebelum ini.
“Apabila kementerian kosong, Perdana Menteri akan melantik seseorang untuk menjalankan tugas dan fungsi kerana Parlimen sudah hendak bersidang.
“Ada soalan-soalan yang perlu dijawab dan banyak perkara yang perlu dimuktamadkan termasuk berkaitan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Sebab itu tanggungjawab ini diberikan untuk menyelesaikan isu-isu yang sangat kritikal dalam tempoh sebulan, dua bulan atau tiga bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan di Dewan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini pada Sabtu.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, setiap kementerian mempunyai cabaran tersendiri termasuk dalam memahami sektor korporat serta kelestarian alam sekitar.
“Ini soal negara, semua kena tahu. Takkan hendak tahu satu perkara sahaja,” ujarnya.
Pada Jumaat, Ketua Setiausaha Negara merangkap Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memaklumkan bahawa Johari telah diberi tanggungjawab untuk menjalankan tugas dan fungsi NRES berkuat kuasa serta-merta.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu dipersetujui oleh Perdana Menteri dan dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai lalu.
Terdahulu, pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai.
Sepanjang menerajui kementerian itu sejak Disember 2022, beliau telah memperkenalkan beberapa inisiatif reformasi termasuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) serta mempertingkat ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Nik Nazmi melepaskan jawatannya selepas gagal mempertahankan kedudukan sebagai Naib Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

