Program rumah tangga songsang: MB Selangor arah JAIS siasat

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung penganjuran satu program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong, tular baru-baru ini dan dikatakan berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan berkenaan kejadian tersebut hanya diterima sekitar setahun lalu dan program itu dipercayai dianjurkan secara peribadi tanpa sebarang kelulusan daripada kerajaan negeri.
“Kita tak pasti mengenai perkara ini kerana laporan pun diterima tahun lepas. Jadi saya minta pihak JAIS dan agensi berkaitan untuk siasat serta ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui selepas Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Sabtu.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak terlibat dalam penganjuran majlis tertutup berkenaan.
“Program itu dianjurkan secara tertutup dalam dewan, tetapi saya amat prihatin dengan apa yang didedahkan,” ujarnya.
Menurut Amirudin, maklumat yang diterima setakat ini hanya berdasarkan dakwaan seorang peserta dan siasatan lanjut perlu dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kita tengok keadaan dahulu, biar pihak polis dan agensi berkaitan buat siasatan. Saya pasti perkara ini akan dirakam dan disiasat sampai ke peringkat itu,” katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan pengurusan IDCC akan dipanggil untuk memberi keterangan, bergantung kepada hasil siasatan nanti.
“Paling penting sekarang, siasatan perlu dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” tegasnya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci bersama JAIS bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga berkenaan.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah tersebut diambil bagi mendapatkan maklumat yang jelas sebelum sebarang tindakan diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook, turut didakwa bahawa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam program berkenaan yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.
Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.
Selain itu, peserta turut disuruh melakukan upacara mandi suci dan ‘kelahiran semula’ yang menyerupai ritual keagamaan lain.
Pendedahan tersebut mencetuskan kemarahan dan kritikan orang ramai di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

