Malaysia tersingkir selepas aksi mendebarkan di separuh akhir

[DIKEMAS KINI] HASRAT skuad hoki lelaki remaja negara untuk melangkah ke pentas final Piala Asia Bawah (B-18) 2025 berkecai selepas tewas 3-4 kepada Pakistan menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir di Pusat Latihan Hoki Nasional Dazhou, China pada Jumaat.
Perlawanan sengit itu berakhir dengan keputusan seri 3-3 dalam masa penuh yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berintensiti tinggi dengan saling berbalas jaringan menerusi pukulan sudut penalti dan gol padang.
Pakistan memulakan permainan dengan cukup agresif apabila meraih dua jaringan awal menerusi pukulan sudut penalti hasil sentuhan Abdullah Awan pada minit ke-5 dan Hassan Shahbaz pada minit ke-8.
Namun, semangat juang tinggi ditampilkan skuad kendalian Mohd Suffian Mohamad apabila penyerang berbisa negara, Muhammad Safwan Salihe tampil cemerlang meledak hatrik kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-10, 18 dan 28 untuk meletakkan Malaysia di depan 3-2.
Kelebihan itu bagaimanapun gagal dikekalkan apabila Hassan Shahbaz kembali menyamakan kedudukan buat Pakistan menerusi gol padang pada minit ke-40, memaksa perlawanan ditentukan melalui penentuan penalti.
Dalam penentuan mendebarkan itu, tiga pemain Malaysia – Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril, Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Harieq Hadief Mohd Fariq berjaya menyempurnakan pukulan masing-masing, namun usaha itu belum cukup untuk menyaingi keampuhan empat pemain Pakistan yang menyumbang gol iaitu Muhammad Shaheer, Zubair Latif, Abdullah Awan dan Ali Hamza.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia akan turun menentang Bangladesh yang tewas kepada Jepun, 4-6 dalam aksi penentuan tempat ketiga bagi merebut pingat gangsa pada Ahad ini.
Sementara itu, Mohd Sufian mengakui semua pemain The Young Tigers kecewa apabila gagal mara ke perlawanan akhir kejuaraan edisi sulung berkenaan.
Sufian bagaimanapun menyifatkan anak buahnya telah menunjukkan semangat juang yang tinggi namun mungkin rezeki tidak memihak kepada Malaysia untuk bermain di pentas final.
“Hari ini mungkin tiada rezeki kita, kita bermain di penalti shoot-out tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pemain kerana mereka menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi walaupun ketinggalan dua gol pada awal permainan.
“Mereka tidak pernah putus asa sehingga dapat mendahului 3-2 pada suatu ketika sebelum terpaksa akur di penalti shoot-out. Kita nampak pemain begitu kecewa kerana mereka telah berusaha.
“Bagi kami ini adalah aksi terbaik yang pernah mereka main, perancangan dan strategi yang teratur. Pemain-pemain ini masih muda tetapi mereka sangat pandai menilai, mengkaji strategi dan saya harap apabila balik nanti mereka akan kekal untuk bermain di peringkat seterusnya,” katanya selepas perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
